Khairuddin minta Pas belajar erti bersimpati

Hantaran Khairuddin di Facebook beliau pada Selasa.
Hantaran Khairuddin di Facebook beliau pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali meminta pemimpin dan ahli Pas belajar erti bersimpati pada mereka yang diuji dengan musibah khususnya kepada mereka yang ada membuat kebaikan.

Bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata, ia kerana umat Islam diajar oleh al-Quran supaya 'jangan lupakan kebaikan sesama kamu'.

"Saya melihat masih ada dalam Pas yang berseronok di atas musibah yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak walaupun Mursyidul Am telah memberi garis panduan kepada ahli dalam isu mahkamah Najib.

"Saya rasa sahabat-sahabat saya dalam Pas perlu diperingatkan dengan jasa Najib memudahkan peruntukan untuk Kelantan sebelum 2018, sesuatu yang tidak berlaku di era Perdana Menteri sebelumnya," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu menambah, Najib juga menggerakkan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2021 atau RUU 355 yang dibentang oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Parlimen.

Menurutnya, Najib turut memberi ruang kepada Pas untuk beraksi dalam program besar peringkat dunia melibatkan 200 orang ulama besar dunia di Festival MyAqsa di Putrajaya sehingga Abdul Hadi boleh memberi ucaptama.

"Di Terengganu, laluan diberikan oleh kerajaan UMNO Terengganu dengan arahan Najib untuk Pas mengadakan program-program besar termasuk Himpunan Fastaqim di Tok Jembal pada September 2017 yang menghimpunkan 300,000 ahli Pas seluruh Malaysia.

"Ketika beberapa pimpinan Pas secara peribadi berhadapan masalah kesihatan, Najib juga secara peribadi membantu atas nama pemimpin negara," tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan Putrajaya menolak rayuan akhir Najib untuk mengetepikan sabitan hukuman dan denda yang dikenakan terhadapnya berhubung penyelewengan dana Syarikat SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membuat keputusan yang betul dan tidak terkhilaf apabila mensabitkan Najib terhadap tuduhan berkenaan.

Susulan keputusan itu, Najib diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang dan denda RM210 juta.