Nik Abduh masih lagi ahli Pas

Nik Mohamad Abduh
Nik Mohamad Abduh
A
A
A

KOTA BHARU - Pas mengesahkan anak lelaki bekas Menteri Besar Kelantan, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz masih ahli parti itu.

Pengesahan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan itu sekali gus menafikan spekulasi bekas Ahli Parlimen Bachok tersebut mahu bersama Pakatan Harapan (PH).

“Beliau masih ahli Pas dan tidak ada ura-ura berkaitan khabar angin itu betul ke tidak.

“Sesiapa yang membuat tuduhan itu, buktikan. Bagi Pas, ia tidak berasas,” kata beliau ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Adilfitri 2023 peringkat Kontinjen Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini pada Rabu.

Takiyuddin
Takiyuddin

Turut hadir, Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun dan isteri, Datin Suzana Yashin.

Sebelum ini, timbul tanda tanya susulan tersebar gambar pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Nik Mohamad Abduh ketika lawatan ke Kelantan.

Pertemuan yang dikatakan diadakan di Hotel Perdana itu turut dihadiri abang kepada Nik Mohamad Abduh iaitu Nik Omar dan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dua hari lalu, Nik Mohamad Abduh sendiri sudah pun menegaskan pertemuannya dengan Anwar hanya perjumpaan biasa dan tidak mempunyai hubung kait dengan politik.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Pas menggugurkan Nik Abduh sebagai calon parti itu dan kerusi yang ditandingi sebelum ini diberikan kepada Muhamad Shahir Che Sulaiman yang kini Ahli Parlimen Bachok.

Nik Omar pula membuat kemunculan di pentas politik dengan memilih untuk bersama dan bertanding di kerusi Parlimen Pasir Salak.