Najib masih ditempatkan di Penjara Kajang

Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih akan ditempatkan di Penjara Kajang bagi menjalani hukumannya.

Pegawai Khas Najib, Ahmad Lutfi Azhar bagaimanapun menyatakan beliau tidak mengetahui sama ada Najib akan ditempatkan di Penjara Sungai Buloh.

“Setakat ini, beliau akan berada di Kajang,” katanya kepada pemberita di lobi Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis.

Tambah Ahmad Lutfi, perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Najib pada Khamis merupakan kali pertama beliau berjumpa bersama keluarganya sejak menjalani hukuman pada Selasa.

“Pertemuan Najib bersama keluarga dalam mahkamah sahaja,” ujarnya.

Najib dilihat keluar daripada Kompleks Mahkamah di sini pada jam 4.20 petang menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) hitam dan turut sempat melambai-lambai kepada penyokongnya yang berjumlah 20 orang.

Penyokongnya selepas itu melaungkan ‘Bossku’ dan Lawan Tetap Lawan’.

Najib dilapor menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa, Najib dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.