Young Syefura, Dzulkefly dilantik Ahli Jawatankuasa Khas Kesihatan

Dari kiri: Young Syefura, Dzulkefly
Dari kiri: Young Syefura, Dzulkefly
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman antara lapan yang dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa Khas (JK) Kesihatan bagi penggal Parlimen kali ini.

Young Syefura berkata, mesyuarat pertama JK Kesihatan telah diadakan pada Isnin bagi memilih pengerusi selain menetapkan perancangan dan fokus untuk jawatankuasa tersebut.

"Saya ingin merakamkan setinggi ucapan tahniah bekas Menteri Kesihatan dan merupakan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dipilih sebagai pengerusi JK Kesihatan untuk penggal ini.

"Fokus JK Kesihatan adalah berkaitan dengan Kertas Putih Kesihatan dan Rang undang-undang (RUU) Generasi Penamat (GEG)," katanya menerusi ciapan Twitter.

Ahli JK Kesihatan yang lain adalah Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan; Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew; Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar; Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran; Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi; Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Alias Razak dan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi.

Jelas beliau, Kertas Putih Kesihatan merupakan satu isu besar sekali gus menjadi fokus utama JK Kesihatan kerana ia merangkumi pelbagai aspek kesihatan dalam negara.

Ujarnya, pelaksanaan kertas putih itu dilihat dapat menjadi reformasi kepada sistem kesihatan Malaysia yang lebih baik.

"Oleh itu perhatian yang khusus perlu diberikan untuk memastikan kertas putih ini bagi mencapai matlamatnya.

"Jika anda semua mempunyai isu-isu berkaitan dengan sistem kesihatan negara yang boleh diberikan perhatian dan siasatan oleh JK Kesihatan, anda boleh ajukan di ruangan komen," ujarnya.