Isu tarekat: Tunggu keputusan jawatankuasa khas

Mohd Fared
Mohd Fared
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Sebarang keputusan mengenai mana-mana kelompok pegangan atau tarekat sama ada tidak tepat atau sebaliknya akan ditentukan oleh jawatankuasa khas di bawah Jabatan Mufti.

Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, semua pihak harus memberi keyakinan sepenuhnya kepada jawatankuasa khas terbabit untuk membuat keputusan.

"Dengan hormatnya saya memohon semua menghormati keberadaan jawatankuasa ini dan berikan mereka kepercayaan sepenuhnya untuk membuat keputusan bagi Johor. Jawatankuasa ini di bawah Jabatan Mufti.

"Sebaik sahaja jawatankuasa bermesyuarat dan bersidang mereka akan diberikan keputusan. Namun saya perlu semak tarikh jawatankuasa ini akan bermesyuarat," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan berhubung kedudukan Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah Syeikh Nazim al-Haqqani di negeri ini.

Sebelum itu, Mohd Fared ditemui pada pada program Belanja Raya Bersama Asnaf 2022 di Mydin Mall di sini, pada Selasa.

Mohd Fared ( dua dari kanan, belakang) pada program Belanja Raya Bersama Asnaf 2022 di Mydin Mall di sini, pada Selasa.
Mohd Fared ( dua dari kanan, belakang) pada program Belanja Raya Bersama Asnaf 2022 di Mydin Mall di sini, pada Selasa.

Pada 8 April lalu, Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI, Datuk Wan Zahidi Wan Teh, berkata, Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah Syeikh Nazim al-Haqqani dibenar untuk diamalkan pengikutnya selagi tidak bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan syariah serta uruf setempat.

Artikel Berkaitan:

Wan Zahidi dilaporkan berkata, status terkini mengenai tarekat itu dibincang dan diputuskan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) dalam mesyuarat ke-117 pada 2020, justeru keputusan terdahulu pada 2000 berkaitannya tidak lagi terpakai.

"Bagaimanapun, dalam melaksanakan keputusan ini, ia tertakluk kepada pihak berkuasa agama setiap negeri," katanya.

Wan Zahidi berkata, kenyataan itu dikeluarkan selepas terdapat kekeliruan pihak media dalam melaporkan kenyataan berkaitan tarekat berkenaan, yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 2 April lalu, sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat, termasuk di media sosial.

Pada 2 April lalu, Jakim memaklumkan, MKI dalam mesyuarat ke-117 tidak membuat sebarang keputusan untuk meminda atau membatalkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI kali ke-48 pada 2000, sebaliknya hanya membenarkan pengikut tarekat itu mengamalkannya selagi tidak bertentangan dengan akidah.

Pada 2000, MKI memutuskan tarekat berkenaan disahkan bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah serta menyeleweng daripada ajaran Islam.