Sheikh Lokman tampil beri penjelasan Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

SHAH ALAM - Sheikh Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah, Sheikh Lokman Shazly Azlanii Zaharin tampil memberikan penjelasan berhubung beberapa amalan dan isu yang dikaitkan dengan ajaran tarekat tersebut.

Menurut beliau, beberapa isu yang sengaja dibangkitkan terhadap tarekat tersebut adalah berkaitan dengan perkara yang tergolong dalam masalah perbezaan pandangan para ulama.

Antara penjelasan yang diberikan beliau, adalah berhubung dengan zikir Huwiyyah iaitu zikir dengan lafaz Hu; mengambil baiah dari orang meninggal dunia; amalan mencium kaki ibu bapa, guru dan orang lebih tua dan perbuatan bersalaman dengan wanita.

Sheikh Lokman berkata, amalan zikir Huwiyyah merupakan zikir yang diamalkan oleh tarekat-tarekat tasawuf muktabar dalam dunia Islam selain dari Tarekat al-Naqshabandiyyah seperti Tarekat al-Shadhiliyyah dan al-Ahmadiyyah alIdrisiyyah.

“Zikir ini adalah harus menurut hukum syarak seperti yang telah dijelaskan di dalam Irsyad Fatwa no. 254, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan oleh Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri pada 13 Oktober 2018.

“Ia juga merupakan amalan beberapa ulama Universiti al-Azhar, Mesir yang menjadi institusi Ahli Sunnah Wal Jamaah rujukan umat Islam seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Katanya, zikir Huwwiyah itu hanya boleh diamalkan oleh pengikut tarekat dengan bimbingan guru mursyid dalam kalangan ulama yang muktabar dan ia bukan untuk diamalkan oleh orang awam.

Berkaitan video zikir Hu yang tular di media sosial, Sheikh Lokman berkata, ia sebenarnya merupakan sebuah majlis tertutup dan bukan untuk tontonan awam tetapi sengaja disebarkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, rakaman video di Pulau Besar yang tular di media sosial yang dikaitkan dengan pengikut tarekat tersebut bukanlah amalan baiah terhadap orang meninggal dunia tetapi sebaliknya ia merupakan amalan tawassul, istighathah dan tabarruk dengan wali yang telah meninggal dunia.

“Hukum ini adalah harus di dalam syariat Islam seperti yang telah dijelaskan oleh ulama muktabar dalam Mazhab al-Shafiʽi seperti Imam al-Ghazali, Imam alNawawi, Imam al-Ramli, Mufti Hadramaut Habib Abd alRahman al-Mashhur, Imam Amin al-Kurdi al-Azhari dan banyak lagi,” ujarnya.

Berkenaan dengan amalan mencium kaki ibu bapa, guru, orang yang lebih tua, Sheikh Lokman berkata, meskipun perbuatan itu bukanlah sebahagian dari amalan biasa dalam tarekat, namun ia dihukumkan sunat menurut Mazhab al-Shafiʽi.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai gambar bersalaman antara bekas pemimpin Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah, Sheikh Nazim al-Haqqani dan wanita, beliau berkata, perlu dimaklumi perkara tersebut adalah termasuk masalah yang terjadinya perbezaan pandangan ulama antara empat mazhab.

Katanya, terdapat mazhab yang membenarkan perbuatan tersebut antaranya Mazhab Hanafi yang membolehkan bersalaman dengan wanita tua yang tidak bersyahwat.

“Bagaimanapun, disebabkan Malaysia lazimnya bermazhab al-Shafiʽi, maka pihak tarekat telah dinasihatkan pada tahun 2018 oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan untuk tidak membenarkan hal tersebut.

“Oleh itu, pihak tarekat komited untuk memastikan para murid menjaga adab sesuai dengan nasihat Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan,” katanya.

Dalam pada itu, Sheikh Lokman turut memaklumkan bahawa semua persoalan tersebut telah dijelaskan dalam beberapa siri pertemuan dengan pihak berautoriti seperti Mesyuarat Jilsah al-Turuq al-Sufiyyah Negeri Sembilan pada tahun 2016; Jakim (2019) dan Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) kali ke-117 (2020).

Pada masa sama, beliau turut menegaskan bahawa bahawa ajaran tarekat tersebut tidak bercanggah dengan prinsip akidah dan syariat dalam kerangka Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Beliau berkata, ia berpandukan kepada kerangka Ahli Sunnah Wal Jamaah daripada bimbingan dan panduan ulama muktabar dalam bidang tasawuf seperti yang diluluskan di bawah Enakmen Tarekat tahun 2005 Negeri Sembilan.

Pada Jumaat lalu, Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI, Datuk Wan Zahidi Wan Teh memaklumkan bahawa Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah Syeikh Nazim al-Haqqani dibenar untuk diamalkan pengikutnya selagi tidak bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan syariah serta uruf setempat.

Katanya, status terkini mengenai tarekat itu dibincang dan diputuskan MKI dalam mesyuaratnya ke-117 pada 2020.

Sehubungan itu, Wan Zahidi berkata, keputusan terdahulu pada tahun 2000 berkaitan Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah itu tidak lagi terpakai.

MKI pada tahun 2000 memutuskan bahawa Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah disahkan bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah serta menyeleweng dari ajaran Islam.