PPKM sokong tubuh jawatankuasa khas selamat tanah rizab Melayu

Laporan Sinar Harian pada Khamis. (Gambar kecil: Mahmood)
Laporan Sinar Harian pada Khamis. (Gambar kecil: Mahmood)
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) menyokong cadangan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad untuk menubuhkan jawatankuasa khas dalam usaha menyelamatkan Tanah Rizab Melayu (TRM) di negeri itu.

Presidennya, Tan Seri Dr Wan Mahmood Pa'Wan Teh berkata, perkara tersebut telah dicadangkan pihaknya sebelum ini dengan melaksanakan satu kajian terperinci.

Ujarnya, PPKM juga telah membuat satu memorandum kepada Raja-Raja Melayu dan semua Kerajaan Negeri kecuali Melaka dan Pulau Pinang berkenaan perkara ini.

"Di antara beberapa cadangan yang dikemukakan didalam memorandum tersebut adalah mencadangkan setiap negeri kecuali Melaka dan Pulau Pinang menubuhkan satu jawatankuasa khas.

"Ia untuk memantau dan mencegah ketirisan daripada pihak yang ingin menceroboh TRM," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada Khamis, kerajaan Perak telah menubuhkan jawatankuasa khas dan mengambil langkah migitasi dalam usaha menyelamatkan TRM di negeri itu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, antara usaha yang dilakukan termasuklah melakukan proses pemutihan dengan menyemak dan menilai semula kriteria syarikat yang disenaraikan dalam Jadual Ketiga Enakmen Rizab Melayu bagi sebarang permohonan pemilikan tanah.

Tambah Wan Mahmood, PPKM juga bersedia memberi perkhidmatan untuk menganggotai jawatankuasa tersebut jika diperlukan oleh kerajaan negeri tersebut.

"Saya akan menghantar senaskah memorandum tersebut secepat mungkin.

"Sekiranya diperlukan apa-apa penerangan tambahan dan berkenaan Tanah Rizab Melayu, hubungi 019-3337099. Saya sedia memberi bantuan pada bila-bila masa," ujarnya.