Tubuh jawatankuasa khas, langkah mitigasi selamatkan TRM

Saarani ketika menjawab soalan lisan Abdul Aziz dan Muhammad Faisal ketika Sidang DUN Perak pada Khamis.
Saarani ketika menjawab soalan lisan Abdul Aziz dan Muhammad Faisal ketika Sidang DUN Perak pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak telah menubuhkan jawatankuasa khas dan mengambil langkah migitasi dalam usaha menyelamatkan Tanah Rizab Melayu (TRM) di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, antara usaha yang dilakukan termasuklah melakukan proses pemutihan dengan menyemak dan menilai semula kriteria syarikat yang disenaraikan dalam Jadual Ketiga Enakmen Rizab Melayu bagi sebarang permohonan pemilikan tanah.

"PTG (Pejabat Tanah dan Galian) Perak turut menyediakan prosedur bagi mengetatkan syarat-syarat untuk sebarang pembeli milikan melalui Seksyen 7 Enakmen Rizab Melayu bagi tanah berstatus rizab Melayu. Hanya berkelayakan dan menepati syarat yang boleh dipertimbangkan permohonan tersebut.

"Kita juga mengadakan rundingan dengan pemilik tanah termasuk pemaju supaya tanah dimiliki diwartakan TRM.

"Sebanyak 183.3 hektar telah dikenal pasti kawasan rizab Melayu setelah mendapat persetujuan pemilik tanah," katanya ketika menjawab soalan lisan dikemukakan Muhammad Faisal Abdul Rahman (PN-Trong) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Khamis.

Saarani berkata, dalam pada itu, PTG Perak juga telah melakukan sekatan dengan memasukkan Kaveat Pendaftar melibatkan kawasan seluas 3,214 hektar di Sitiawan bagi menghalang sebarang transaksi atau pindah milik kepada bukan Melayu.

Katanya, kemasukan Kaveat Pendaftar bertujuan sebarang pindah milik yang berlaku selepas ini hanya dibenarkan kepada orang Melayu sahaja agar Seksyen 6 Enakmen Rizab Melayu dapat dikuatkuasakan.

Jelasnya, kerajaan negeri memutuskan sebarang penjualan lot-lot pembangunan di kawasan Sitiawan 2 hendaklah 100 peratus Melayu.

Sementara itu, Saarani berkata, PTG Perak akan terus mencari jalan untuk mengembalikan tanah rizab Melayu melalui proses undang-undang.

"Kaedah pertama penggantian tanah untuk diwartakan tanah rizab Melayu di beberapa kawasan yang melibatkan tanah kerajaan.

"Mana-mana tanah milik syarikat yang tidak berstatus Rizab Melayu akan dijadikan Rizab Melayu. Langkah ini adalah usaha kerajaan negeri menangani isu secara cermat bagi melindungi kepentingan tanah tersebut," katanya.

Menjawab soalan tambahan Dr Abdul Aziz Bari (PH-Tebing Tinggi), Saarani berkata, keluasan TRM di Perak 2023 adalah sejumlah 953,178.52 hektar meliputi 45.07 peratus daripada keluasan keseluruhan tanah di negeri ini.

Beliau berkata, walaupun berlaku peningkatan signifikan terhadap keluasan TRM itu, kerajaan negeri terus melipatgandakan usaha secara konsisten bagi menambah keluasan TRM di negeri ini.

Katanya, sejumlah kira-kira 3,782 hektar telah dikenal pasti untuk diwartakan sebagai TRM manakala sejumlah lebih kurang 3,749 hektar kini dalam semakan akhir tapak sebelum dipertimbangkan selanjutnya.