Pharmaniaga terima 48,000 stok Paxlovid pada Isnin

Sebanyak 48,000 stok pil Paxlovid PF-07321332 selamat sampai di Pharmaniaga pada Isnin.
Sebanyak 48,000 stok pil Paxlovid PF-07321332 selamat sampai di Pharmaniaga pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Syarikat farmaseutikal tempatan, Pharmaniaga Logistic Sdn Bhd (Pharmaniaga) menerima 48,000 stok pil untuk rawatan Covid-19 keluaran Pfizer, Paxlovid PF-07321332 pada Isnin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ubat itu disyorkan untuk rawatan pesakit Covid-19 dewasa berumur 18 tahun dan ke atas yang tidak memerlukan terapi oksigen dan berisiko tinggi untuk mendapat gejala yang teruk.

“Ia tidak bertujuan untuk digunakan sebagai pengganti kepada vaksinasi Covid-19 atau pengganti kepada tindakan kesihatan awam untuk mengelakkan dijangkiti Covid-19.

“Penggunaan Paxlovid adalah satu lagi senjata melawan Covid-19 iaitu ubat antiviral untuk aspek rawatan wabak tersebut.

“Ia diberikan segera selepas dikesan positif Covid-19 dan dalam tempoh masa lima hari gejala bermula untuk keberkesanan optimum,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Malaysia telah meluluskan penggunaan pil Paxlovid secara pendaftaran bersyarat untuk kegunaan semasa bencana.

Dr Noor Hisham berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-370.

Katanya, pil berkenaan membabitkan gabungan molekul baharu, PF-07321332 dan ritonavir antiviral HIV yang perlu diambil sebagai tablet berasingan.

Artikel Berkaitan: