Isu Kampung Koskan Tambahan selesai, penduduk terima RM15,000

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) memaklumkan bahawa isu perobohan rumah penduduk Kampung Koskan Tambahan, Serendah, Hulu Selangor telah selesai menerusi situasi menang-menang buat penduduk dan pemaju.

Jelas Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan dan Setiausaha Agung Muda, Amir Hadi, setiap keluarga yang terlibat diberi pampasan ex-gratia sebanyak RM15,000 oleh pemaju untuk keluar dari rumah.

“Pemaju menyediakan pengangkutan dan tenaga kerja bagi kerja-kerja pemindahan dan kesemuanya telah selesai dipindahkan dengan semakan akhir pada 12 Mei 2022.

“Kerajaan negeri melalui Pejabat DUN telah menempatkan kesemua 12 keluarga ke rumah sewa sementara dan menanggung bayaran deposit serta sewa bulan pertama,” katanya dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Sabtu.

Pihaknya turut memaklumkan bahawa pemberian Rumah Selangorku akan diutamakan di samping terdapat perbincangan mengenai kemungkinan kelonggaran syarat.

“Kami ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat termasuk Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali, Saifuddin Shafi dan Ahli Majlis Hulu Selangor, Hayati Mat kerana membantu serta memberi komitmen penuh menyelesaikan isu ini serta rakan-rakan yang lain yang turut bersolidariti,” katanya.

Baru-baru ini, lebih 60 penduduk Kampung Koskan Tambahan yang diminta mengosongkan kediaman mereka bersedia menerima tawaran kerajaan negeri yang mempertimbangkan untuk memberi rumah Selangorku.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kampung tersebut, Maszahar Hashim berkata, bagaimanapun tawaran itu perlu dibuat secara bertulis dan terbuka.

Penduduk kampung tersebut diminta mengosongkan kawasan tersebut kerana tanah tempat didirikan kediaman mereka itu telah dijual oleh pemilik asal kepada sebuah syarikat.

Perkara tersebut bagaimanapun mendapat perhatian daripada PSM dan Muda.