Datuk Roy tidak mengaku minta rasuah RM2.4 juta, terima RM240,000

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Ahli perniagaan, Mohd Hussein Mohd Nasir yang lebih dikenali sebagai Datuk Roy mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas dua tuduhan meminta rasuah RM2.4 juta dan satu tuduhan menerima suapan RM240,000, membabitkan anak Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut bermula Februari lalu.

Mohd Hussein, 54, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa meminta rasuah RM2 juta daripada dua individu sebagai dorongan untuk menukarkan pertuduhan yang lebih ringan, menukar keterangan tertuduh kepada saksi dan mengurangkan wang jaminan terhadap kes pendakwaan yang dihadapi Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah tempat di Kampung Melayu Kepong di sini pada awal Februari lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000.00 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Dalam mahkamah sama, turut didakwa ialah Ketua Cawangan Siasatan SPRM (ketika itu), Mohd Rasyidi Mohd Said, 43, atas satu pertuduhan meminta rasuah RM400,000 dan satu menerima rasuah RM240,000.

Bagi pertuduhan itu, Datuk Roy (pertuduhan kedua dan ketiga) didakwa bersama-sama Mohd Rasyidi menerima suapan RM240,000 daripada seorang lelaki berusia 41 tahun.

Ia didakwa sebagai dorongan untuk tidak menahan reman anak bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu Datuk Fakhri Yassin semasa siasatan SPRM.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah restoran makanan segera di Desa Sri Hartamas di sini pada jam 2 hingga 4 petang, 6 Mac lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut seksyen sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dengan peruntukan hukuman sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Nor Diana Nor Azwa serta pegawai pendakwa SPRM, Selvam T Armugom.

Datuk Roy pula diwakili oleh peguam, Fahmi Abd Moin, Azizul Shariman Mat Yusoff dan Ariff Azami Hussein sementara Mohd Rasyidi oleh peguam, Mohd Hezri Shaharil.

Suzana membenarkan Datuk Roy dibebaskan dengan jaminan RM15,000 manakala Mohd Rasyidi sebanyak RM10,000.

Mahkamah turut memerintahkan mereka menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM di ibu Negara, setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 7 Julai ini bagi sebutan kes.

ARTIKEL BERKAITAN: Pegawai SPRM, Datuk Roy didakwa rasuah RM640,000 supaya anak Muhyiddin tidak direman

Datuk Roy, bekas Timbalan Pendaftar Mahkamah bebas reman

Datuk Roy serah diri, direman SPRM

Jana Wibawa: SPRM cari 'Datuk Roy' bantu siasatan

'Datuk Roy' direman lagi

'Datuk Roy' bebas dengan jaminan SPRM, ditahan semula kes lain