Sindiket penyeludupan tumpas, nilai rampasan cecah RM1.7 juta

JKDM merampas 13,824 liter minuman keras yang ditemui semasa menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kontena pada 11 Mac lalu.
JKDM merampas 13,824 liter minuman keras yang ditemui semasa menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kontena pada 11 Mac lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup minuman keras dan barangan larangan bernilai keseluruhan mencecah RM1.71 juta melibatkan empat kes di sekitar Pelabuhan Klang, Klang baru-baru ini.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, dalam kes pertama, pihaknya merampas 13,824 liter minuman keras yang ditemui semasa menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kontena pada 11 Mac lalu.

"Nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM82,944 dan jumlah duti/cukai yang terlibat dianggarkan sebanyak RM217,382.

"Kes kedua membabitkan dua pemeriksaan pada 23 dan 25 Mac, JKDM berjaya mematahkan cubaan menyeludup organ haiwan sejuk beku dianggarkan seberat 97,000 kilogram bernilai RM861,400 dalam empat buah kontena di Pelabuhan Utara, Klang," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, JKDM berjaya menemui sebanyak 8,394 liter minuman keras yang diseludup dianggarkan bernilai RM407,891 dalam serbuan ke atas sebuah premis tidak berpenghuni di sekitar Klang pada 28 Mac lalu.

Sementara itu, dalam satu lagi serbuan ke atas sebuah gudang di Klang, JKDM merampas minuman keras tidak berkastam dengan anggaran kuantiti rampasan sebanyak 7,887 liter.

"Nilai rampasan dalam kes keempat ini adalah dianggarkan sebanyak RM361,986 dan jumlah duti/cukai yang terlibat dianggarkan sebanyak RM1,040,538," katanya.

Abdul Latif berkata, kesemua barang rampasan terbabit merupakan barang larangan di bawah Butiran 3, Jadual Ketiga/ Bahagian I, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

Artikel Berkaitan:

Katanya, JKDM menahan seorang lelaki tempatan untuk membantu siasatan membabitkan kes kedua dan pihaknya turut menyiasat pembabitan pemilik premis, ejen import dan ejen perkapalan yang berkenaan.

"Kes pertama, kedua dan keempat disiasat di bawah Akta Kastam 1967 iaitu cubaan mengimport barang tak berkastam atau apa-apa barang larangan di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

"Kes ketiga disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dengan disedarinya melindungi, menyimpan, menyembunyi dalam milikannya barang-barang tak berkastam," jelasnya.