Penduduk Malaysia kini cecah 33.2 juta

Penduduk Malaysia meningkat 1.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. - Foto Bernama
Penduduk Malaysia meningkat 1.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Penduduk Malaysia dianggarkan berjumlah 33.2 juta setakat suku pertama tahun ini sekali gus menyaksikan ia meningkat 1.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dengan 32.6 juta.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah itu merangkumi 30.4 juta atau 91.7 peratus warganegara dan 2.8 juta atau 8.3 peratus bukan warganegara.

Menurutnya, kenaikan ini disumbangkan oleh pertambahan semula jadi yang positif bagi warganegara dan juga pertambahan penduduk bukan warganegara.

"Penduduk lelaki meningkat daripada 17.1 juta kepada 17.5 juta berbanding suku tahun pertama 2022 manakala perempuan meningkat daripada 15.5 juta kepada 15.7 juta bagi tempoh yang sama.

"Secara keseluruhan, nisbah jantina penduduk adalah 111 lelaki bagi setiap 100 perempuan, manakala nisbah jantina bagi penduduk warganegara adalah 104 lelaki bagi setiap 100 perempuan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah Mohd Uzir, tiga negeri mencatatkan jumlah penduduk tertinggi pada suku tahun pertama 2023 iaitu Selangor (21.7 peratus) diikuti oleh Johor (12.3 peratus) dan Sabah (10.4 peratus).

Ujarnya, jumlah kelahiran hidup merekodkan peningkatan sebanyak 8.9 peratus (111,604 kelahiran) berbanding suku tahun pertama 2022 (102,466 kelahiran).

"Walau bagaimanapun, statistik menunjukkan trend menurun berbanding suku tahun sebelum (113,865). Bayi lelaki melebihi perempuan dengan 57,654 kelahiran berbanding 53,950 kelahiran bayi perempuan.

"Selangor kekal mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi iaitu 21,148 kelahiran (18.9 peratus) manakala jumlah kelahiran hidup terendah dicatatkan oleh Wilayah Persekutuan Labuan (361 kelahiran: 0.3 peratus)," katanya.

Sementara itu katanya, kumpulan umur ibu yang tertinggi direkodkan pada umur 30-39 tahun iaitu 57,491 (51.5 peratus), diikuti oleh umur 20-29 tahun (41.6 peratus), 40 tahun dan lebih (5.3 peratus) dan kurang daripada 20 tahun (1.6 peratus).

Menurut Mohd Uzir lagi, sebanyak 47,767 kematian telah direkodkan pada suku tahun pertama 2023, penurunan sebanyak 11.7 peratus berbanding suku tahun pertama 2022 (54, 123 kematian).

"Selangor mencatatkan bilangan kematian tertinggi iaitu 7,548 kematian (15.8 peratus) manakala Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan bilangan kematian terendah dengan 66 kematian (0.1 peratus)," katanya.

Selain itu katanya, kematian disebabkan Covid-19 menurun 97.3 peratus (3,457 kematian) pada suku tahun pertama 2023 iaitu daripada 3,553 kematian pada suku tahun pertama 2022 kepada 96 kematian.

Kematian disebabkan Covid-19 ini jelasnya, menyumbang 0.2 peratus daripada keseluruhan jumlah kematian pada suku tahun pertama 2023.

"Selangor merekodkan kematian Covid-19 tertinggi (31 kematian) manakala tiada kematian direkodkan di Kelantan dan Wilayah Persekutuan Labuan," katanya.