RM1.098 juta dimasukkan ke akaun Rosmah

Rosmah
Rosmah
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang Penolong Pengurus Perkhidmatan Wang Pengeluaran Automatik (ATM) dan Sokongan, Affin Bank Berhad mengesahkan di Mahkamah Tinggi, di sini pada Khamis, beberapa transaksi dalam akaun bank berakhir nombor 0058, menunjukkan berlaku aktiviti pendepositan wang tunai berjumlah RM1.098 juta.

Saksi pendakwaan pertama, Nor Ashikin Abdullah, 58, berkata demikian ketika prosiding kes 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, dan lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor.

Menerusi kenyataan pembukaan dibaca oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib di hadapan Hakim, K Muniandy, akaun itu dikatakan milik isteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, wang berkenaan dimasukkan menerusi beberapa transaksi antara Oktober 2014 hingga Jun 2017.

Pada November 2018, beliau berkata, Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram/Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA/CFT) bank tersebut memohon untuk mendapatkan maklumat berkenaan rekod transaksi deposit wang tunai menggunakan CDM bagi akaun berakhir nombor 0058.

“Susulan itu, saya telah mengakses rekod elektronik Affin Bank kemudian mencetak laporan transaksi deposit wang tunai dengan menggunakan komputer di pejabat.

“Saya kemudiannya menyerahkan penyata terbabit kepada pegawai SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia),” katanya ketika membaca penyataan saksi.

Sementara itu, saksi pendakwaan kedua, bekas Pegawai Pengurusan Operasi di Bahagian Pengurusan dan Operasi Kompleks Seri Perdana, Faizal Shamsuddin berkata, dia pernah membantu pegawai atasannya, Pengurus Kediaman Kompleks Seri Perdana, Putrajaya (ketika itu) Roslan Sohari untuk mendepositkan wang ke dalam akaun Affin Bank milik Rosmah.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Roslan telah menyerahkan satu sampul surat berisi wang kepadanya berserta nombor akaun bank Rosmah, untuk diberikan kepada seorang pegawai di Affin Bank, cawangan Bangunan Getah Asli, Kuala Lumpur, untuk didepositkan ke dalam akaun itu.

“Saya cam dokumen pertama iaitu borang deposit Affin Bank yang menunjukkan deposit wang tunai sebanyak RM200,000 pada 17 Jun 2015 ke dalam akaun Datin Seri (Rosmah).

“Saya deposit wang tunai berkenaan atas arahan Encik Roslan, saya camkannya berdasarkan tulisan tangan saya pada borang deposit itu,” kata saksi berusia 48 tahun ini.

Dalam prosiding berkenaan, peguam, Datuk Geethan Ram Vincent hadir bagi pihak Rosmah, memohon supaya soal balas kedua-dua saksi ditangguhkan ke tarikh lain.

Mahkamah kemudian menetapkan prosiding bersambung 7 September depan untuk pengurusan kes.