Perompak bertopeng larikan tujuh kilo emas bernilai RM1.8 juta

Tangkap layar rakaman CCTV berkenaan.
Tangkap layar rakaman CCTV berkenaan.
A
A
A

KUALA PILAH - Tujuh kilogram emas bernilai kira-kira RM1.8 juta dipercayai dilarikan dua lelaki bertopeng dalam kejadian samun di lorong belakang Kedai Emas Nur Jannah di sini pada Rabu.

Rakaman video kejadian yang berdurasi 33 saat itu dipercayai berlaku pada jam 11.37 pagi tular di media sosial sejak jam 1 petang.

Dalam rakaman tersebut, dua individu bertopeng dan bersenjatakan parang melarikan emas daripada dua lelaki yang merupakan dua pekerja pembekal emas.

Suspek kemudiannya menaiki dua kereta jenis kereta Toyota Altis dan Toyota Camry.

Noorhasliza menunjukkan rakaman CCTV kejadian itu.
Noorhasliza menunjukkan rakaman CCTV kejadian itu.

Dalam pada itu, Pengurus Kedai Emas Nur Jannah Kuala Pilah, Noorhasliza Abd Rahman berkata, kejadian itu membabitkan pembekal emas mereka dan ia berlaku di luar premisnya.

"Mereka memaklumkan kejadian itu kepada kami dan kejadian telah dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV), malah laporan polis telah pun dibuat untuk tindakan lanjut," katanya ketika di temui pemberita di lokasi pada Rabu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintenden Syahrul Anuar Abd Wahab ketika dihubungi menyatakan kenyataan media berhubung kejadian berkenaan akan diberikan selepas ini.