Mindef meterai perolehan aset bernilai RM4.6 billion

Hishammuddin
Hishammuddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan (Mindef) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dan perolehan aset bernilai RM4.6 bilion dengan menandatangani tiga memorandum persefahaman (MoU) dan menyerahkan Surat Setuju Terima (LOA) serta Surat Hasrat (LOI) sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (Natsec) Asia di sini pada Rabu.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, penyerahan kontrak berkenaan menunjukkan komitmen kementerian untuk memastikan tahap kesiapsiagaan aset pertahanan di tahap optimum walaupun ekonomi negara merudum berikutan penularan wabak Covid-19.

Menurutnya, dalam masa sama, Mindef turut berusaha untuk memperoleh aset lain seperti kenderaan pengangkut berperisai (APC) untuk kegunaan Batalion Malaysia (Malbatt) 850 di Lubnan, meriam kendiri 155 millimeter (mm) dan jambatan sokongan logistik untuk kegunaan Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD).

"Gerup Gerak Khas (GGK) juga akan menerima senjata ringan anti kereta kebal (LAW). Bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), aset baharu yang sedang dalam perancangan ialah tiga helikopter utiliti AW 139 buatan Itali. Kapal pesisir pantai (LMS) juga akan dilengkapi dengan senjata yang lebih canggih. Selain itu, 13 bot pemintas laju juga kini dalam proses perolehan.

"Selain itu, sebanyak 36 pesawat pejuang ringan dan latihan lanjutan (FLIT-LCA) untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sedang dijalankan mengikut dua fasa. Ia akan menggantikan pesawat MiG-29N/UB yang telah berhenti beroperasi pada 2017, Hawk yang telah berkhidmat selama 32 tahun menjelang 2026 dan Aermacchi (MB-339CM) selama 22 tahun menjelang 2030," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pemeteraian dan upacara penyerahan LOA serta LOI berkenaan yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) sempena Pameran DSA dan Natsec Asia 2022 di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, mereka juga dalam usaha untuk mendapatkan tiga buah radar pertahanan jarak jauh (Lorad), radar pertahanan udara jarak sederhana (Merad); pesawat tanpa pemandu (UAV), Medium Altitude Long Endurance Unmanned Aerial System (MALE-UAS) serta pesawat ronda maritim (MPA).

“Di bawah Inisiatif Keselamatan Maritim (MSI), tiga pesawat CN235-220M kini dalam proses dinaik taraf bagi memenuhi peranan keperluan pengawasan maritim bagi menjalankan tugas risikan dan peninjuan.

Artikel Berkaitan:

“Rancangan juga sudah diperincikan bagi mendapatkan 24 helikopter baharu untuk menggantikan Nuri yang telah ditamatkan perkhidmatan. Ia akan diperoleh bermula tahun 2026 melibatkan Fasa 1 Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) iaitu sebanyak 12 helikopter manakala 12 lagi helikopter dijangka akan diterima dalam Fasa 2 RMK14 iaitu tahun 2031-2035,” jelasnya.