KKM belanja RM4.9 bilion rawat pesakit diabetes

KKM membelanjakan sebanyak RM4.9 billion setahun bagi kos rawatan pesakit diabetes di negara ini yang mencatatkan jumlah penghidap tertinggi di Asia dan tertinggi di dunia.(Gambar hiasan) - Foto 123rf, gambar kecil: Dr Zaliha
KKM membelanjakan sebanyak RM4.9 billion setahun bagi kos rawatan pesakit diabetes di negara ini yang mencatatkan jumlah penghidap tertinggi di Asia dan tertinggi di dunia.(Gambar hiasan) - Foto 123rf, gambar kecil: Dr Zaliha
A
A
A

SEREMBAN - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membelanjakan sebanyak RM4.9 bilion setahun bagi kos rawatan pesakit diabetes di negara ini yang mencatatkan jumlah penghidap tertinggi di Asia dan kedua tertinggi di dunia.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, dianggarkan kira-kira 3.9 juta rakyat negara ini iaitu golongan dewasa menghidap penyakit tersebut.

"Sejajar dengan itu KKM dengan kerjasama strategik Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) Kuala Lumpur memulakan kajian kohort berskala besar berkaitan diabetes, kajian ini dijangka mengambil masa sekitar 10 hingga 12 tahun.

"Kajian kohort berkenaan merupakann yang pertama menumpukan kepada pesakit diabetis di negara ini khususnya pesakit kencing manis jenis dua (T2DM)," katanya selepas merasmikan majlis pelancaran kajian kohort 'Seremban Diabetes (SeDia) Cohort' di Seremban pada Sabtu.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir turut berkenan berangkat ke majlis tersebut.

Baginda diiringi Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz yang juga Pengerusi Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) Health Sdn Bhd.

Mengulas lanjut Zaliha berkata, berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019, didapati prevalens diabetes dalam kalangan dewasa berumur 18 tahun ke atas di Malaysia menunjukkan peningkatan sebanyak 63.4 peratus.

"Perkara lebih membimbangkan adalah peratusan tidak didiagnos adalah lebih tinggi dalam kalangan mereka yang berusia bawah 50 tahun," katanya.

Tambahnya, memahami kesemua faktor itu, KKM akan fokus membantu membangunkan intervensi pencegahan dan pengendalian kes diabetes dengan lebih berkesan.