Ops Tiris: KPDN rampas diesel, aset bernilai RM34.5 juta

Armizan (tengah) bercakap ketika sidang akhbar berkaitan Ops Tiris di Dewan Sebaguna KPDN pada Khamis. - Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Armizan (tengah) bercakap ketika sidang akhbar berkaitan Ops Tiris di Dewan Sebaguna KPDN pada Khamis. - Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas minyak diesel dan aset bernilai RM34.5 juta dalam Ops Tiris yang bermula 1 Mac hingga 23 Ogos lalu.

Pemangku Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, jumlah rampasan itu turut membabitkan 4.31 juta liter minyak diesel bernilai RM9.23 juta.

Menurutnya, berdasarkan statistik sebanyak 10,351 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara, manakala 121 aduan telah diterima berhubung isu berkaitan dalam tempoh yang sama.

Rampasan ini dibuat berdasarkan 459 kes termasuklah 225 kes serahan yang diterima daripada rakan agensi strategik iaitu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam).

“Sebanyak 379 tangkapan juga telah dilakukan dalam tempoh sama melibatkan 305 individu merupakan warganegara, 71 individu warga asing manakala tiga individu adalah pemastautin tetap,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat KPDN di sini pada Khamis.

Jelasnya, hasil kejayaan Ops Tiris ini, KPDN akan meneruskan Ops Tiris Fasa 2.0 bermula 1 September hingga 31 Disember tahun ini.

“Ops Tiris 2.0 akan melibatkan komponen Business Intelligence Unit (BIU) atau Unit Risikan Perniagaan yang akan beroperasi di bawah Bahagian Penguat Kuasa KPDN.

“Selain meneruskan operasi sedia ada, antara penambahbaikan yang akan dilaksanakan melalui Ops Tiris 2.0 ini adalah peluasan skop siasatan yang lebih menyeluruh meliputi rantaian bermula daripada sumber pembelian bekalan sehingga kepada pembeli haram.

Artikel Berkaitan:

Armizan berkata, langkah itu bertujuan mendapatkan gambaran terperinci berhubung keseluruhan rantaian pasaran gelap minyak diesel yang disyaki turut melibatkan sindiket.

“KPDN komited melaksanakan arahan perdana menteri untuk memperhebatkan aktiviti penguatkuasaan di semua peringkat sebagaimana yang ditegaskan dalam pertemuan beliau bersama ketua-ketua Jabatan, agensi penguatkuasa yang berhubungan dengan jenayah kewangan pada Rabu.

Tambahnya, melalui platform Ops Tiris 2.0 juga, Bahagian Penguat Kuasa KPDN akan merintis risikan terhadap ketirisan subsidi lain seperti LPG, minyak masak, beras dan gula.