Kedah lanjut pelaksanaan Kawasan Bebas Berniaga hingga akhir tahun ini

Mohd Hayati
Mohd Hayati
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri memutuskan Kawasan Bebas Berniaga yang mula dilaksanakan di Kedah sejak tahun 2020 akan dilanjutkan sehingga 31 Disember tahun ini.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, pelaksanaan Kawasan Bebas Berniaga yang diumumkan oleh kerajaan negeri ini adalah bertujuan untuk membantu meringankan bebanan peniaga yang terjejas.

Beliau menjelaskan, sebelum ini, Kawasan Bebas Berniaga di Kedah diputuskan dilaksana sehingga semua kategori Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan sepenuhnya kerajaan Persekutuan.

"Bagaimanapun, Kedah telah memutuskan untuk melanjutkan Kawasan Bebas Berniaga sehingga 31 Disember 2022 berdasarkan keputusan Mesyuarat Exco Kerajaan Kedah pada Rabu.

"Lanjutan tempoh berkenaan diberikan sebagai tempoh persediaan peniaga atau penjaja menghabiskan stok makanan dan barangan," katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman, di sini, pada Rabu.

Katanya, keputusan itu juga bagi memberi peluang kepada mereka mencari alternatif untuk berniaga menggunakan saluran dibenarkan seperti berniaga di kawasan berpremis dan memohon lesen perniagaan dari pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Tempoh persediaan diberikan diharapkan dapat membantu peniaga dan penjaja kecil menambahkan lagi mata bersempena kedatangan bulan Ramadan dan Aidilfitri tidak lama lagi, sebelum mereka berpindah dan mencari kaedah lain untuk kelangsungan hidup,"katanya.

Dr Mohd Hayati berkata, peniaga disarankan untuk berniaga di tapak yang telah disediakan oleh PBT masing-masing berikutan pelaksanaan Kawasan Bebas Berniaga di Kedah akan tamat berkuat kuasa 31 Disember tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Pada November 2020, kerajaan negeri mengumumkan khabar gembira dengan membenarkan peniaga menjalankan perniagaan di Kawasan Bebas Berniaga di Kedah secara percuma selama setahun.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu bazar Ramadan di Kedah dibenarkan beroperasi pada tahun ini mengikut arahan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Katanya, bazar Ramadan di Kedah itu dibenarkan beroperasi bermula jam 3 petang hingga waktu berbuka puasa mengikut ketetapan lokasi PBT masing-masing.

"Jadi, kita harap peniaga dan juga pembeli-pembeli di bazar Ramadan ini dapat mengikut arahan-arahan ataupun SOP yang telah ditetapkan sepert mematuhi penjarakkan fizikal dan mengimbas kod QR MySejahtera"katanya

Katanya, mereka mempunyai simptom batuk, selesema atau sakit tekak dinasihatkan tidak menjual ataupun membeli di bazar Ramadan, sebaliknya membuat pemeriksaan diri dengan menggunakan kit ujian pantas dan menjalankan kuarantin kendiri.

Dr Mohd Hayati berharap masyarakat tidak leka hingga menyebabkan kes jangkitan Covid-19 meningkat walaupun negara telah memasuki fasa endemik.

"Selain itu, orang awam yang melaksanakan ibadah solat sunat tarawh di masjid mahupun surau dinasihat sentiasa mengambil berat dengan memakai pelitup muka dan membawa sejadah sendiri walaupun solat boleh dirapatkan kembali pada 1 April ini,"katanya.