AMK Alor Setar nafi bantah kehadiran Zahid

AMK Alor Setar nafi keluarkan kenyataan kecewa dengan kehadiran Presiden UMNO di Himpunan Madani di Alor Setar pada Jumaat.
AMK Alor Setar nafi keluarkan kenyataan kecewa dengan kehadiran Presiden UMNO di Himpunan Madani di Alor Setar pada Jumaat.
A
A
A

ALOR SETAR - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Alor Setar menafikan mengeluarkan satu kenyataan media bagi membantah kehadiran Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi pada Himpunan Madani di Alor Setar pada Jumaat.

Ketuanya, Tan Jin Hao berkata, kenyataan tersebut yang tular di media sosial adalah kenyataan palsu.

"Kami AMK Alor Setar menafikan sekeras-kerasnya satu kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.

"Kami menyokong penuh kepimpinan kerajaan Malaysia Madani di bawah kepimpinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan kabinet hari ini," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Kenyataan yang didakwa daripada AMK Alor Setar itu meluahkan rasa kecewa kerana tidak dimaklumkan dengan kehadiran Zahid Hamidi yang sepentas dengan Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat bercakap mengenai soal integriti dan pencegahan rasuah namun beliau sendiri sedang dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah.

Dakwa kenyataan itu, apa yang berlaku menjadi isyarat sukar buat jentera Alor Setar untuk memenangi Pilihan Raya Negeri Kedah kerana imej UMNO di negeri ini telah ditolak secara total pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Jin Hao menjelaskan, AMK Alor Setar menentang sebarang provokasi dalam menjejaskan dan menggugat kestabilan keharmonian antara rakyat di negara ini.

"Kebaikan-kebaikan dasar yang dibawa hari ini oleh kerajaan Malaysia Madani, kami AMK Alor Setar menyokong penuh," ujar beliau lagi.