Isu konsultan minta RM4 juta: SPRM belum terima laporan rasmi

Shaharom Nizam
Shaharom Nizam
A
A
A

ALOR SETAR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah mengesahkan pernah menerima maklumat berkaitan dakwaan ada pihak meminta wang membabitkan pembinaan asrama Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) di Kuala Ketil.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap bagaimanapun berkata, maklumat berkenaan yang diterima sekitar awal tahun bukan berupa laporan rasmi.

Menurutnya, semakan awal mendapati tiada kesalahan di bawah bidang kuasa SPRM setakat ini.

“Maklumat tersebut diterima sekitar Februari lalu. SPRM Kedah akan menghubungi beberapa pihak lain untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Shaharom Nizam berkata, tiada perkembangan baharu mahupun maklumat tambahan diperoleh selepas perkara itu dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Dr Salmee Said pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah minggu lalu.

“Dr Salmee hadir ke pejabat SPRM Kedah hari ini (Ahad) untuk dapatkan pandangan berkaitan isu tersebut, namun tiada maklumat baharu diperoleh setakat ini,” katanya.

Pada sesi penggulungan Sidang DUN Kedah pada Rabu, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor meminta pihak yang mempunyai bukti berlaku salah laku rasuah membabitkan pembinaan asrama di universiti tersebut tampil membuat laporan kepada SPRM.

Sebelum itu, Dr Salmee meminta penjelasan Muhammad Sanusi berhubung dakwaan terdapat sebuah syarikat kontraktor diminta membayar RM4 juta melalui konsultan universiti terbabit bagi mendapatkan tender pembinaan asrama di universiti itu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Shaharom Nizam memberitahu, SPRM mengalu-alukan mana-mana pihak yang memiliki keraguan atau bukti berhubung perkara tersebut agar membuat laporan rasmi.

“Sekiranya terdapat bukti dan maklumat berkaitan, sesiapa pun boleh datang untuk buat laporan rasmi dan kemukakan kepada kami,” ujarnya.