Sila log masuk terlebih dahulu.

Dakwaan konsultan universiti minta suapan, MB Kedah minta lapor SPRM

Muhammad Sanusi, Dr Salmee
Muhammad Sanusi, Dr Salmee
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Dr Salmee Said membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dakwaan konsultan sebuah universiti di negeri ini meminta suapan.

Beliau berkata, dakwaan berkenaan tidak benar dan tidak berasas sama sekali, malah tidak sewajarnya dibangkitkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah kerana bersifat tuduhan.

Menurutnya, tohmahan terbabit hanya bertujuan untuk menjejaskan reputasi institusi pendidikan milik kerajaan negeri itu.

“Saya agak terkejut dengan dakwaan Kota Siputeh (Dr Salmee) bahawa konsultan berkenaan dikatakan meminta RM4 juta daripada syarikat yang berminat untuk kemukakan cadangan membina asrama pelajar di situ.

“Itu satu tuduhan berat berupa tohmahan yang tidak dapat dibuktikan oleh beliau,” katanya pada sesi penggulungan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini pada Rabu.

Muhammad Sanusi turut meminta agar Dr Salmee mengemukakan bukti berhubung dakwaan berkenaan kerana ia memberi gambaran buruk terhadap universiti terbabit, konsultan dan kerajaan negeri.

“Kalau ada bukti, sila buat laporan SPRM selepas Dewan ditangguhkan. Buat tuduhan macam itu sangat berat, tambahan pula dalam Dewan yang mulia ini.

“DUN bukan tempat kemukakan tuduhan, bawa bukti dan terus lapor SPRM. Kalau sekadar mahu berikan gambaran buruk terhadap pihak lain, sampai buat macam itu, tak boleh, itu kerja yang tak betul,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya lagi, rancangan membina asrama di universiti terbabit bagi menempatkan 2,000 pelajar dimuktamadkan pada Januari lalu menerusi kaedah pembiayaan pembinaan secara ‘built operate and tranfer’ (BOT).

“Kaedah tawaran secara Request For Proposal (RFP) akan diuruskan pasukan perunding yang dilantik oleh universiti terbabit. Dokumen tawaran hanya akan dikeluarkan pada Mei depan. RFP pun tak keluar lagi, macam mana boleh buat tuduhan seperti itu,” katanya.

Pada sidang media selepas itu, Muhammad Sanusi kesal kerana isu yang tidak sahih tanpa bukti dibawa untuk dibincangkan dalam persidangan DUN.

“Saya gulung dalam Dewan tadi nada agak tinggi sebab kenyataan yang tak wajar dibawa dalam Dewan, sudahlah ia berbentuk tuduhan dan tohmahan, dan tidak dapat dijawab oleh pihak yang dituduh kerana tiada dalam Dewan.

“Selain jejaskan reputasi pusat pengajian itu sebagai universiti Islam antarabangsa, konsultan berikan reka bentuk asrama dengan kos sangat rendah sebab mahu bantu kita, tetapi dituduh pula sebegitu,” ujarnya lagi.