Saya tak hadir kerana hadiri prosiding mahkamah: Najib

Gambar kecil: Hantaran Facebook Najib
Gambar kecil: Hantaran Facebook Najib
A
A
A

PUTRAJAYA - Tanpa menunggu lama, Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak terus membalas serangan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil yang mendakwa ketidakhadiran ahli Parlimen kerajaan punca usul Subseksyen Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) ditolak.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Najib berkata, ketidakhadirannya ke Dewan Rakyat adalah kerana menghadiri prosiding mahkamah.

"Eh... Semalam saya ada kat mahkamah sampai petang. Bukan kamu tak tahu," tulisnya.

Menurutnya, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang (Parlimen Marang) dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin (Parlimen Pagoh) antara yang tidak hadir.

"Adakah mereka juga hendak gagalkan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan dilaksanakan dalam masa terdekat?" soalnya.

Beliau berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu adalah cubaan untuk memperbodohkan rakyat.

"Dia kata tolak undi untuk lanjutkan tempoh Sosma bukan usaha Pakatan Harapan (PH) tidak tepati janji dan MoU dengan kerajaan.

"Lalu dituduh bahawa saya yang cuba gagalkan MoU kerajaan sebab saya tak hadir untuk undi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas Najib, PH sepatutnya menepati janji manifesto mereka untuk memansuhkan Sosma ketika memegang tampuk pemerintahan sebelum ini.

"Kenapa pula kamu semua tak tepati janji manifeto untuk mansuhkan Sosma ketika kamu semua memerintah?

"Kenapa hanya ingat kembali semalam (Rabu) sahaja?

"Cakap sahaja lah MoU juga bukan kitab suci," sindirnya.