'Usul Sosma pasti lulus tapi kenapa tak hadir'

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil
A
A
A

PUTRAJAYA - Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil menempelak pemimpin UMNO yang menyalahkan blok pembangkang susulan usul lanjutan Subseksyen Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) gagal mendapat sokongan.

Menurutnya, daripada menuding jari kepada pihak lain, lebih baik pihak kerajaan menjelaskan alasan seramai 31 ahli Parlimen mereka tidak hadir untuk menyokong usul tersebut pada Rabu.

"Dari mereka jaja cerita kononnya Pakatan Harapan (PH) gagalkan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik, lebih baik jelaskan kenapa ahli Parlimen mereka tak hadir untuk sokong usul kerajaan sendiri," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Melalui hantaran media sosialnya, beliau turut mendakwa antara ahli Parlimen yang tidak hadir sewaktu pengundian usul Sosma termasuklah Ahli Parlimen Bagan Datuk (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi), Pekan (Datuk Seri Najib Tun Razak), Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan Pontian (Datuk Seri Ahmad Maslan).

"Kalau dua hingga tiga daripada mereka ini hadir pada masa mengundi, usul kerajaan pasti lulus. Kenapa tak hadir?" soalnya.

Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa dilapor berkata, MoU yang dimeterai antara kerajaan dengan parti pembangkang terbatal susulan tindakan PH yang meminta undi belah bahagi dilaksanakan di Dewan Rakyat.

Katanya, Perkara 3.3(b) dalam MoU menyatakan bahawa PH bersetuju akan mengambil pendirian menyokong atau berkecuali dalam sebarang usul yang dikemukakan oleh kerajaan secara tidak langsung berjanji tidak akan menolak usul kerajaan.

Usul bagi melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Sosma untuk tempoh lima tahun lagi gagal dipertahankan selepas keputusan hasil undian belah bahagi menunjukkan hanya 84 ahli Parlimen menyokong, manakala 86 ahli Parlimen tidak menyokong, selain 50 lagi tidak hadir.

Artikel Berkaitan:

Kegagalan itu menyebabkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak dapat melanjutkan kuat kuasa Subseksyen 4(5) bermula 31 Julai depan.