Da'i Syed menangis dilepas dan dibebaskan tuduhan merogol

PUTRAJAYA – Selepas berdepan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan, pendakwah selebriti, Da’i Syed akhirnya menarik nafas lega apabila Mahkamah Rayuan di sini pada Rabu melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan merogol seorang wanita, tujuh tahun lalu.
Dua daripada tiga hakim memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan akhir Da'i Syed atau nama penuhnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, sekali gus mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Bapa kepada dua anak itu turut dilihat menahan air mata ketika mendengar keputusan terbabit di kandang tertuduh.
Panel hakim diketuai Datuk Azman Abdullah bersama Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid, manakala seorang lagi hakim, Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid tidak bersetuju dengan keputusan majoriti berkenaan.
Ketika membacakan keputusan, Azman berkata, pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
“Sabitan terhadap perayu adalah tidak selamat. Rayuan perayu dibenarkan dan hukuman pemenjaraan 10 tahun serta tiga sebatan oleh Mahkamah Tinggi diketepikan,” katanya.
Suasana di mahkamah turut menyentuh emosi apabila Da’i Syed yang berada di kandang tertuduh dilihat menangis sejurus keputusan itu diumumkan.
Isterinya, Hana yang berada di galeri awam turut dilihat menangis sambil meraup muka selepas mendengar keputusan berkenaan.
Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal didakwa merogol seorang wanita berusia 23 tahun di sebuah kondominium di Seksyen 7 di sini, kira-kira jam 1.35 pagi pada 11 September 2019.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
AKAN MENYUSUL
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

