Kerjasama IWK, MPM pupuk kesedaran masyarakat

Narendran (berdiri, lima dari kiri) dan Megat D Shahriman (berdiri, enam dari kiri) serta pihak pengurusan IWK dan MPM bergambar bersama atlet sukan para serta para jemputan dari golongan OKU. Foto: HALIM ABDUL WAHID
Narendran (berdiri, lima dari kiri) dan Megat D Shahriman (berdiri, enam dari kiri) serta pihak pengurusan IWK dan MPM bergambar bersama atlet sukan para serta para jemputan dari golongan OKU. Foto: HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR - Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd mengadakan kerjasama dengan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai golongan orang kurang upaya (OKU), selain mengiktiraf bakat, pencapaian dan sumbangan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Datuk Ir Narendran Maniam berkata, kerjasama itu dilakukan menerusi inisiatif #WeThe15: Inclusive Together, selaras dengan pelaksanaan program Sahabat Istimewa IWK.

Narendran
Narendran

Menurutnya, program tersebut merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) di bawah naungan IWK Cares yang bertujuan memperkasakan komuniti OKU dan membuka lebih banyak peluang kepada golongan ini untuk terlibat secara aktif dalam pelbagai aspek kehidupan bermasyarakat.

“Tanggungjawab IWK bukan sekadar memastikan perkhidmatan pembetungan negara berfungsi dengan baik namun turut merangkumi usaha menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat, meraikan kepelbagaian keupayaan dan mewujudkan peluang yang lebih saksama untuk semua.

“Sejajar dengan matlamat gerakan global WeThe15, yang memperjuangkan hak dan keterangkuman 15 peratus populasi dunia yang terdiri daripada golongan OKU, IWK komited untuk menyokong agenda ini.

“Malah IWK juga ada memberi peluang kepada golongan ini untuk bekerja dengan syarikat. Ini kerana usaha membina masyarakat yang inklusif memerlukan komitmen bersama bukan tanggungjawab satu organisasi atau satu pihak sahaja tetapi berterusan antara agensi, sektor korporat dan komuniti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis #WeThe15 Inclusive Together: Road TO ASEAN Para Games 2027 di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Narendran (kiri) dan Megat D Shahriman menandatangani ikrar pada Majlis #WeThe15 Inclusive Together: Road TO ASEAN Para Games 2027. Foto: HALIM ABDUL WAHID
Narendran (kiri) dan Megat D Shahriman menandatangani ikrar pada Majlis #WeThe15 Inclusive Together: Road TO ASEAN Para Games 2027. Foto: HALIM ABDUL WAHID

Menerusi majlis itu, turut diadakan demonstrasi pelbagai sukan para seperti badminton, catur, ping pong dan boccia. Selain itu, gerai perniagaan dari Pusat Pemulihan Dalam Komuniti, Persekutuan Orang Pekak Malaysia, Usahawan Cendol Meleleh dan Yayasan Chow Kit turut disediakan.

Tambah Narendran, melalui kerjasama itu, pihaknya juga menyemarakkan sokongan terhadap atlet para menjelang Sukan Para ASEAN 2027 yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada bulan Oktober tahun hadapan.

“Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada kontinjen para atlet Malaysia atas pencapaian membanggakan di Sukan Para Asia 2026 di Nagoya, Jepun minggu lepas.

“Kejayaan meraih sebanyak 27 pingat, termasuk enam emas, lapan perak dan 13 gangsa, membuktikan bahawa ketabahan, semangat juang dan keazaman mampu membawa seseorang mencapai kejayaan yang luar biasa. Ia pasti menjadi inspirasi kepada kita semua,” katanya.

Sokongan korporat penting demi komuniti OKU Sementara itu, Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, kerjasama itu diharapkan menjadi permulaan kepada satu hubungan strategik yang bermakna dan berterusan.

Megat D Shahriman
Megat D Shahriman

Jelasnya, dalam masa sama, lebih banyak organisasi korporat untuk tampil ke hadapan dan menyedari bahawa menyokong golongan OKU bukan sekadar satu bentuk sumbangan kebajikan tetapi penting dalam membina masyarakat yang lebih inklusif.

“Saya ingin merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada IWK, pihak pengurusan dan semua yang terlibat dalam menjayakan inisiatif ini.

“Menjelang Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2027, marilah kita bersama-sama memastikan bahawa temasya ini meninggalkan legasi yang lebih besar daripada sekadar pencapaian sukan.

“Biarlah ia meninggalkan kefahaman yang lebih mendalam, penerimaan terbuka serta peluang berterusan kepada golongan OKU,” katanya. Tambah beliau, hakikatnya, keterangkuman bukan bermaksud memberikan layanan istimewa kepada seseorang.

Megat D Shahriman (duduk, kiri) mencuba permainan catur untuk sukan para bersama salah seorang peserta dan dibantu oleh Narendran. Foto: HALIM ABDUL WAHID
Megat D Shahriman (duduk, kiri) mencuba permainan catur untuk sukan para bersama salah seorang peserta dan dibantu oleh Narendran. Foto: HALIM ABDUL WAHID

“Sebaliknya, ia memastikan setiap individu mempunyai peluang yang sama untuk mengambil bahagian, menyumbang dan mencapai kejayaan.

“Marilah kita bersama-sama mengiktiraf keupayaan, meruntuhkan halangan dan membina sebuah masyarakat yang memberikan ruang dan tempat kepada semua,” ulasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!