Ayam mati sebelum disembelih wajib diasingkan – Jakim

Laporan Sinar Harian pada Isnin mengenai serbuan ke atas gudang penyembelihan dan pemprosesan ayam tidak mengikut syarak.
Laporan Sinar Harian pada Isnin mengenai serbuan ke atas gudang penyembelihan dan pemprosesan ayam tidak mengikut syarak.
A
A
A

PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menegaskan pengusaha rumah sembelihan wajib mengasingkan ayam yang mati sebelum disembelih bagi mengelakkannya bercampur dengan bekalan halal di pasaran.

Menurut Jakim, kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan ayam yang diragui status halalnya memasuki rantaian bekalan sehingga sampai kepada pengguna.

Katanya, risiko itu meningkat jika sumber bekalan tidak diperiksa dan rekod penerimaan serta pengedaran tidak lengkap.

“Pengusaha wajib memastikan kawalan dan pemeriksaan dilaksanakan supaya ayam yang mati sebelum disembelih dikenal pasti, diasingkan serta tidak memasuki bekalan halal,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Jakim menjelaskan, kekurangan maklumat pembekal, dokumen penghantaran dan rekod penerimaan menyukarkan pengesanan bekalan ayam.

Keadaan itu menjadi lebih rumit apabila ayam dipotong, dibungkus semula atau dipindahkan antara beberapa pihak.

Menurutnya, pemeriksaan perlu bermula di rumah sembelihan dan diteruskan sepanjang rantaian bekalan bagi mengelakkan produk tidak halal bercampur dengan bekalan lain.

Sebelum ini, negara dikejutkan dengan serbuan ke atas sebuah gudang penyembelihan dan pemprosesan ayam mentah di Puchong, Selangor yang dipercayai memproses lebih 40,000 ekor ayam tidak mengikut hukum syarak.

Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) (Gerakan/Operasi) Bukit Aman, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, ayam berkenaan dipercayai diedarkan ke kedai runcit, restoran dan premis perniagaan.

Artikel Berkaitan:

Antara kawasan terlibat ialah Puchong, Putrajaya, Cyberjaya, Damansara, Cheras dan Bangi.

Dalam pada itu, Jakim menjelaskan pengesahan halal di pusat penyembelihan bukan hanya melibatkan pemeriksaan produk akhir, tetapi turut merangkumi semakan dokumen dan audit fizikal premis.

Pengauditan bagi permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) meliputi sumber ayam, kelayakan penyembelih, peralatan, kaedah penyembelihan, penggunaan pelalian, kebersihan dan sistem pengurusan halal.

Menurut Jakim, pemegang SPHM yang melanggar syarat pensijilan boleh dikenakan notis ketidakakuran, penggantungan atau penarikan balik sijil mengikut prosedur ditetapkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!