'Sudah 70 hari kami tanggung derita, punca rezeki hilang, akaun bank tertutup rapat'

SHAH ALAM - Kehilangan 54 rakyat Malaysia dalam tragedi banjir di Nepal pada 26 Ogos lalu memasuki hari ke-70, namun sehingga kini waris berdepan satu persoalan besar iaitu bagaimana mahu meneruskan kehidupan apabila tuntutan insurans masih tergantung tanpa sijil kematian.
Menerusi perkongsian isteri kepada Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa atau Loe Solo, Hani Othman di Facebook, dalam keadaan masih mengharapkan keajaiban agar insan tersayang ditemukan selamat, waris terpaksa berdepan realiti pahit bahawa sumber pendapatan utama terputus sedangkan wang simpanan dan tuntutan insurans yang sepatutnya boleh membantu untuk kelangsungan hidup masih tidak dapat diakses.
Menurutnya, keluarga mangsa ketika ini buntu kerana pihak insurans didakwa belum memberikan jawapan, hanya meminta sijil kematian sebagai dokumen untuk memproses tuntutan.
"Bagaimana kami nak serahkan sijil kematian kalau status mereka masih 'Orang Hilang'? Dulu dikhabarkan pihak Nepal kononnya mahu mengeluarkan sijil anggapan kematian selepas 45 hari.
"Tapi hari ini sudah masuk hari ke-70. Segalanya masih berstatus 'pending', tak ada 'black and white' (pengesahan bertulis).
"Hati seorang isteri, ibu dan anak sampai bila-bila pun tak pernah berhenti mengharapkan keajaiban. Kami tetap menanti mereka pulang tapi dalam masa sama, realiti dunia menampar kami tanpa belas kasihan. Kami yang ditinggalkan ini perlu terus hidup," luah Hani pada Rabu.
Lebih memilukan, kata Hani, akaun bank mangsa juga belum dapat diakses oleh waris disebabkan status serba tergantung itu meskipun terdapat wang simpanan di dalamnya yang boleh digunakan untuk membiayai komitmen ansuran rumah termasuk keperluan harian keluarga.
Tambahnya lagi, sebahagian waris turut berdepan kesukaran melantik peguam untuk memohon perintah mahkamah bagi membolehkan akses kepada akaun berkenaan lantaran kos guaman sahaja mencecah ribuan ringgit.
Tidak cuma itu, jelas Hani, keluarga turut bimbang mengenai komitmen kewangan selepas kemudahan moratorium selama enam bulan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) berakhir.
"Duit deposit peguam, yuran pemfailan dan kos dokumentasi, daripada mana keluarga nak korek duit sebanyak itu sedangkan punca rezeki utama dah hilang dan akaun bank terkunci rapat?
"Sesetengah keluarga mangsa langsung tak mampu nak bayar kos guaman. Akhirnya, apa pilihan yang mereka ada? Terus buntu dan tersepit.
"Kami bukan sahaja kehilangan insan yang paling disayangi dan dicintai, tetapi juga tiang tempat berteduh serta punca pendapatan," katanya pilu.
Justeru, Hani berkata, waris memerlukan kepastian dan pembelaan kerana enggan lagi menanggung derita disebabkan status tergantung itu.
"Bagaimana seorang suri rumah dengan anak-anak kecil nak menyuap nasi ke mulut anak esok hari bila akaun bank suami terkunci, kos peguam tak mampu nak bayar, pampasan insurans tersekat dan sumber nafkah terputus sama sekali?
"Jangan biarkan kami menanggung 'derita tergantung' ini bersendirian. Kami perlukan kepastian, pembelaan dan sistem yang ada belas ihsan untuk mereka yang terperangkap dalam status hilang," tegas Hani.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
