Tolak usul lanjut Subseksyen Sosma tidak beri kesan pada MoU

Anwar Ibrahim -Foto Bernama
Anwar Ibrahim -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan barisan pembangkang menolak usul kerajaan melanjutkan tempoh pelaksanaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) di Dewan Rakyat tidak mendatangkan kesan sama sekali kepada Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana usul berkenaan bukan sebahagian daripada intipati MoU yang dimeterai antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH).

“Saya ikuti perjalanan sidang Dewan Rakyat hari ini khususnya terkait usul yang dibawa Menteri Dalam Negeri berhubung Akta Sosma walaupun masih dalam tempoh kuarantin.

“Penghargaan saya buat seluruh saf pembangkang kerana telah menyatakan pendirian yang teguh dan utuh serta berjaya menolak usul tersebut.

“Seperti yang dijelaskan beberapa rakan ahli Parlimen, usul ini bukan sebahagian dari MoU antara kerajaan dan PH, penolakan tersebut tidak mendatangkan kesan sama sekali kepada perjalanan MoU tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Pada Rabu, usul kerajaan untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan Subseksyen Sosma bagi tempoh lima tahun lagi gagal melepasi undi belah bahagi di Dewan Rakyat.

Melalui undi yang dijalankan hanya 84 ahli Parlimen bersetuju berbanding 86 yang tidak bersetuju, manakala seramai 50 orang lagi tidak hadir.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau turut mengambil maklum pertemuan pimpinan PH bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan komitmen beliau untuk membentang Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti dalam satu sidang khas Parlimen pada April.

Artikel Berkaitan:

“Semoga segala usaha kita dipermudah demi rakyat Malaysia,” ujarnya.