[VIDEO] Usul kerajaan tewas di Dewan Rakyat

Dewan Rakyat
Dewan Rakyat
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Sidang Dewan Rakyat hari ini melakar sejarah buat blok pembangkang apabila buat pertama kalinya menang dalam penentuan undi belah bahagi.

Undian dibuat mengenai usul bagi melanjutkan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) berkenaan tahanan selama 28 hari tanpa perbicaraan.

Melalui undi yang dijalankan hanya 84 ahli Parlimen bersetuju berbanding 86 yang tidak bersetuju.

Proses undi belah bahagi itu juga menyaksikan seramai 50 orang lagi tidak hadir.

Dalam hal ini, subseksyen yang membenarkan suspek ditahan sehingga 28 hari tanpa perlu dihadapkan di hadapan majistret tidak lagi akan berkuat kuasa selepas ia luput pada 31 Julai 2022.

Usul dikemukakan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin telah dibahaskan oleh 19 ahli Parlimen yang mengambil bahagian.

Susulan keputusan undi belah bahagi tersebut, Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) menyatakan ia adalah rang undang-undang kerajaan yang pertama dikalahkan oleh pembangkang dalam sejarah Parlimen.

Respons sama diutarakan oleh Wong Shu Qi (PH-Kluang) menerusi ciapan di Twitter miliknya.

“Hari ini dalam sejarah. Sudah beberapa kali bertugas sebagai penghitung undi dalam Parlimen, kali pertama blok pembangkang menang,” katanya.