1MDB: PDRM ke Singapura siasat kes suami Zeti Aziz

Kamarudin
Kamarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasukan penyiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ke Singapura pada 29 dan 30 Mac ini bagi mengumpul maklumat dan merakam keterangan saksi bagi membantu siasatan terhadap terhadap Datuk Dr Tawfiq Ayman berhubung penerimaan dana dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam akaun miliknya di negara itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, 'Commercial Affairs Department' Singapura telah bersetuju untuk pasukan penyiasat PDRM pergi ke negara itu.

"Siasatan berhubung kes itu masih diteruskan dan ia melibatkan kenyataan saksi yang berada di Malaysia dan Singapura.

"Commercial Affairs Department Singapura telah memberikan kerjasama dengan berkongsi maklumat dokumen secara ‘on intelligence basis’ dengan pegawai penyiasat JSJK," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Kamarudin berkata, kertas siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada Oktober tahun lalu.

"Kita telah menerima arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan keterangan saksi di Singapura yang boleh diterima oleh mahkamah di Malaysia," katanya.

Kamarudin berkata, pihaknya telah menghubungi Commercial Affairs Department Singapura untuk pasukan penyiasat pergi ke negara itu untuk mendapatkan maklumat lanjut.

"Ia membolehkan polis mengemukakan permohonan di bawah akta bantuan bersama dalam perkara jenayah (Mutual Assistance in Criminal Matters Act] 2002 melalui Jabatan Peguam Negara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pihak berkuasa Singapura telah memberikan persetujuan untuk pasukan penyiasat PDRM pergi ke negara itu pada Disember 2021 dan Februari lalu.

"Namun pergerakan itu tidak dapat dilaksanakan disebabkan oleh faktor penggantungan sementara Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia dan Singapura bermula 23 Disember tahun lalu hingga 20 Januari," katanya.

Kamarudin berkata, pegawai penyiasat telah menjadi kontak rapat dan kemudiannya positif Covid 19 pada Februari lalu.

"Keadaan ini telah menyebabkan pegawai penyiasat tidak dapat memberi maklum balas berhubung tarikh pergerakan yang sesuai ke Singapura.

"Selain itu, maklum balas juga belum diterima daripada saksi-saksi yang merupakan warga Singapura mengenai kesediaan mereka untuk ditemubual oleh pasukan penyiasat PDRM.

Kamarudin berkata, pihaknya ingin menyatakan bahawa apa jua kenyataan sebelum ini mengenai siasatan polis terhadap kes Tawfiq dan perjalanan pasukan penyiasat PDRM ke Singapura tidak bermaksud untuk menyembunyikan sebarang fakta atau untuk mengelirukan mana-mana pihak.

"Kita komited dalam memastikan siasatan kes ini diselesaikan dengan segera secara telus dan adil tanpa melindungi mana-mana pihak," katanya.

Pada Mac tahun lalu, JSJK Bukit Aman mengesahkan siasatan masih dijalankan terhadap Tawfiq yang juga suami bekas Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berhubung penerimaan dana dikaitkan dengan 1MDB itu.

Bekas pengarahnya, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, siasatan terhadap Tawfiq dibuat mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Katanya, siasatan kes ini membabitkan keterangan di Malaysia dan luar negara, justeru PDRM sedang mengambil tindakan susulan mengikut Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah 2002 bagi mendapatkan keterangan yang berada di luar negara.