Guna kereta sewa, sorok dalam baju terpakai taktik baharu seludup ganja

TUMPAT - Taktik baharu sindiket penyeludupan ketulan ganja mampat yang disorok dalam bungkusan pakaian terpakai dan menggunakan kereta sewa berjaya dipatahkan pihak berkuasa.
Modus operandi licik tersebut didedahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan selepas rampasan sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang ditinggalkan berhampiran Zon Bebas Cukai Rantau Panjang pada 25 Januari lalu.
Menanggung Tugas Tugas (MTT) Pengarah JKDM negeri, Dr Ishak Ismail berkata, pihaknya menjalankan intipan selama tiga hari terhadap kenderaan berkenaan.

"Hasil siasatan awal mendapati, terdapat 58.865 kilogram (kg) ganja mampat yang disorok di dalam pakaian terpakai berkenaan yang diletakkan dalam bonet belakang bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
"Hasil pemeriksaan rapi dengan bantuan anjin pengesan dadah dari Unit Narkotik Cawangan Penguatkuasaan Rantau Panjang berjaya menemui ganja mampat bernilai RM182,481.50.
"Dadah terbabit dipercayai akan dibawa ke pasaran luar Kelantan dan masuk ke negara ini melalui Sungai Golok," katanya semasa sidang akhbar di Cawangan Penguat kuasa JKDM Pengkalan Kubor di sini pada Isnin.
Ishak memberitahu, nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM215,481.50 termasuk nilai kenderaan.
Ujarnya, kes terbabit disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ringkasan AI
- Taktik baharu sindiket penyeludupan ganja mampat disorok dalam bungkusan pakaian terpakai
- Ganja tersebut diseludup menggunakan kereta sewa dan dikesan JKDM Kelantan
- Intipan selama tiga hari terhadap kenderaan tersebut sebelum membuat rampasan
- Ganja mampat berjumlah 58.865 kg dengan nilai RM182,481.50 ditemui dalam bonet belakang kereta
- Kes ini disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

