Polis kesan dokumen, saksi di luar negara bantu kes Tawfiq

Mohd Kamarudin
Mohd Kamarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam proses mengenal pasti beberapa dokumen dan saksi yang berada di luar negara bagi membantu siasatan terhadap Datuk Dr Tawfiq Ayman.

Siasatan tersebut dijalankan mengenai Tawfiq yang juga suami bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz yang didakwa menerima dana berkaitan 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pada ketika ini pihak polis masih menunggu kebenaran daripada negara tersebut.

"Sebelum ini kita sudah melengkapkan kertas siasatan dan dihantar kepada Jabatan Peguam Negara, namun arahan dikeluarkan Jabatan Peguam Negara kepada PDRM agar mendapatkan dokumen dan saksi-saksi terlibat.

“Kita masih menunggu maklum balas dan lampu hijau daripada negara terlibat untuk mengambil keterangan saksi-saksi dan dokumen yang diperlukan,“ katanya ketika sidang akhbar di Menara KPJ di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, perkara tersebut melibatkan keterangan saksi dan dokumen, jadi polis tidak boleh sewenang-wenangnya pergi dan memerlukan bantuan pihak berkuasa di negara terbabit.

Dalam kenyataan pada Khamis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan bekas Peguam Negara pada hujung 2018 telah menyelaraskan koordinasi siasatan antara SPRM dan PDRM berhubung dengan kes tersebut.

Sehubungan itu, Pejabat Peguam Negara telah mengarahkan PDRM untuk memberi tumpuan kepada aspek kesalahan jenayah berhubung penerimaan wang tersebut ke dalam akaun milik Tawfiq di Singapura dan siasatan masih berjalan sehingga kini.

Artikel Berkaitan:

Penyelarasan itu adalah untuk mengelakkan pertindihan dalam siasatan melibatkan pengumpulan bukti-bukti dan keterangan mereka yang terlibat serta sebagai kemudahan untuk berurusan bersama pihak Singapura yang memberi keutamaan kepada satu agensi penguat kuasa yang menjalankan siasatan kesalahan jenayah.

Sebelum ini, SPRM dilapor mendedahkan, sekurang-kurangnya RM65 juta dana berkaitan 1MDB diambil balik dari Singapura disimpan syarikat milik Tawfiq.

Siasatan ke atas Tawfiq itu dilapor dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dengan kenyataan suami dan seorang anak Zeti itu dirakamkan, pada April tahun lalu.

Dalam pada itu, pada 23 Februari lalu, bekas pegawai bank Goldman Sachs iaitu Tim Leissner pada prosiding perbicaraan yang dikaitkan dengan 1MDB di New York, Amerika Syarikat menyebut perihal rasuah membabitkan Tawiq.

Bagaimanapun, Tawfiq menafikan dakwaan tersebut dan meluahkan rasa terkejut beliau terhadap dakwaan Leissner itu yang telah dilaporkan oleh media.

Beliau menyatakan tidak kenal Leissner atau Roger Ng Chong Hwa dan tidak pernah bertemu atau berkomunikasi dengan mereka sepanjang hidupnya serta tidak pernah menerima rasuah daripada sesiapa.

Kenyataan itu, yang dikeluarkan oleh peguamnya daripada Tetuan Jagjit Ariff & Co telah disahkan oleh rakan kongsi firma guaman berkenaan Wan Muhd Ariff Ameer.