Kes hasutan Muhyiddin dikembalikan ke Mahkamah Tinggi

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan hari ini mengembalikan kes hasutan bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.
Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Seri Abu Bakar Jais yang mempengerusikan panel lima hakim berkata, pihak pembelaan tidak dihalang daripada membangkitkan empat persoalan undang-undang berkaitan Akta Hasutan semasa perbicaraan.
Beliau berkata, pada peringkat ini Mahkamah Persekutuan menolak untuk menjawab empat persoalan undang-undang yang dikemukakan pihak pembelaan.
Panel membuat keputusan itu selepas peguam mewakili Muhyiddin, Datuk Amer Hamzah Arshad memaklumkan kepada mahkamah bahawa setelah mengambil kira pandangan mahkamah dan berbincang dengan anak guamnya, pihak pembelaan berpendapat terdapat isu semasa yang boleh dibangkitkan di Mahkamah Tinggi semasa perbicaraan.
Beliau berkata, pihak pembelaan bersetuju untuk kes berkenaan dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk didengar dan diputuskan.
Hakim Abu Bakar berkata, sekiranya Mahkamah Persekutuan membuat keputusan mengenai persoalan undang-undang dan keputusan tidak memihak kepada pemohon, ia tidak memberi sebarang manfaat kepada Muhyiddin kerana keputusan berkenaan mengikat Mahkamah Tinggi.
Hakim Abu Bakar berkata, sekiranya Mahkamah Persekutuan meneruskan untuk mendengar dan memutuskan persoalan undang-undang itu, tiada lagi ruang rayuan yang tinggal sekiranya mana-mana pihak terkilan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan.
Beliau berkata, sekiranya persoalan itu didengar di Mahkamah Tinggi, pemohon masih berpeluang untuk membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
"Persoalannya ialah yang mana lebih baik untuk tertuduh? Pada peringkat ini, adakah Mahkamah Tinggi perlu mengikut apa yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan?
"Atau adakah lebih baik untuk tertuduh membenarkan Mahkamah Tinggi tanpa terikat dengan Mahkamah Persekutuan, untuk menentukan soalan berkenaan?” katanya sambil menekankan bahawa perbicaraan masih belum bermula dan tiada saksi yang dipanggil.
Hakim yang turut bersidang ialah Hakim Besar Malaya Datuk Seri Hashim Hamzah dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Rhodzariah Bujang, Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Antara persoalan yang dibangkitkan ialah sama ada Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 dibaca bersama Seksyen 3(3) akta sama merupakan sekatan tidak munasabah yang bercanggah dengan Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan dan sama ada Seksyen 3(2) dibaca bersama Seksyen 3(3) akta sama adalah tidak berperlembagaan kerana menjejaskan hak tertuduh untuk mendapatkan perbicaraan yang adil.
Pada 4 Februari lepas, Muhyiddin, 78, mengekalkan pengakuan tidak bersalah terhadap pertuduhan mengeluarkan perkataan menghasut pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undang Negeri (DUN) Nenggiri di Dewan Semai Bakti FELDA Perasu, antara 10.30 hingga 11.50 malam, 14 Ogos 2024.
Ia berkait dakwaan bahawa beliau tidak dijemput oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) walaupun dikatakan mempunyai sokongan 115 daripada 222 Ahli Parlimen.
Muhyiddin yang juga bekas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum bawah Subseksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Kes berkenaan pada awalnya disebut di Mahkamah Sesyen Gua Musang, Kelantan pada 27 Ogos 2024 sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur susulan permohonan pihak pembelaan.
Pada 28 Ogos tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Muhyiddin untuk merujuk empat persoalan undang-undang berkaitan Akta Hasutan ke Mahkamah Persekutuan.
Amer Hamzah kemudiannya memaklumkan kepada pemberita berkata kes berkenaan dijadualkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi, esok.
Terdahulu pada prosiding hari ini, peguam mewakili Muhyiddin ialah Rosli Dahlan, Chetan Jethwani, Joshua Tay H’ng Foong, Lee Yee Woei dan Tan Jia Yiern, manakala pihak pendakwaan terdiri daripada Timbalan Pendakwa raya Saiful Hazmi Mohd Saad, Datuk Ahmad Sazali Omar dan Nadia Mohd Izhar. - Bernama
Ringkasan AI
- Kes hasutan bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan
- Mahkamah Persekutuan membenarkan empat persoalan undang-undang berkaitan Akta Hasutan dibangkitkan semasa perbicaraan
- Muhyiddin mengekalkan pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan mengeluarkan perkataan menghasut
- Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948
- Kes ini sebelumnya disebut di Mahkamah Sesyen sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
