Lapan penuntut kolej direman kes serang pelajar potong barisan

MELAKA - Tindakan lapan penuntut sebuah kolej vokasional yang menyerang seorang pelajar lain selepas tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang didakwa memotong barisan ketika waktu makan membawa padah apabila kesemua mereka direman polis bagi membantu siasatan.
Menurut sumber, laporan polis dibuat oleh bapa mangsa selepas anaknya diserang oleh sekumpulan pelajar di kawasan institusi terbabit minggu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, semua pelajar terbabit telah digantung sementara berkuat kuasa serta-merta.
Menurutnya, siasatan kes berkenaan kini dijalankan oleh pihak polis serta Kementerian Pendidikan (KPM).
“Setakat ini, tiada tindakan buang sekolah dikenakan ke atas pelajar terbabit.
“Namun, terdapat permohonan pertukaran institusi daripada sebahagian pelajar dan perkara ini tertakluk kepada kelulusan Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (BPLTV),” katanya pada Isnin.
Beliau berkata, urusan disiplin yang melibatkan kolej vokasional berada di bawah bidang kuasa KPM, manakala Jabatan Pendidikan Negeri hanya berperanan memberi bimbingan dari segi prosedur.
Ujarnya, tindakan penggantungan sementara itu boleh dikenakan sehingga tempoh maksimum dua minggu selagi siasatan masih berlangsung.
Ringkasan AI
- Lapan penuntut kolej vokasional menyerang pelajar lain kerana masalah memotong barisan
- Kes berlaku minggu lalu dan bapa mangsa telah buat laporan polis
- Pelajar yang terlibat digantung sementara dengan serta-merta
- Siasatan kes dijalankan oleh polis dan Kementerian Pendidikan
- Tiada tindakan buang sekolah setakat ini, ada permohonan pertukaran institusi dari sebahagian pelajar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

