'Hutang 1MDB dibayar Goldman Sachs, bukan duit rakyat'- Najib


NAJIB
NAJIB
A
A
A

TANGKAK - Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa kenyataan dibuat Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kononnya hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dibayar menggunakan wang rakyat sebagai mengarut.

Beliau sebaliknya menegaskan, ia dibayar oleh Goldman Sachs.

“Itu bukan wang rakyat, saya cakap pasal hutang prinsipal.

“Dia dah kutip daripada Goldman Sachs lebih RM16 bilion manakala ada juga daripada Ambank Investment. Itu bukan duit rakyat.

“Goldman Sachs duit rakyat ke? Bagaimana dia boleh katakan duit rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni pengundi di Pekan Bukit Gambir pada Selasa.

Pada 2 Mac lalu, Najib dalam perbahasannya di Dewan Rakyat mendakwa hutang 1MDB itu tidak dibayar menggunakan dana awam tetapi daripada wang 1MDB yang dikembalikan oleh beberapa entiti seperti Goldman Sachs Group Inc, firma audit KPMG dan Deloitte, Ambank dan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat.

Muhyiddin kemudiannya dilapor menafikan dakwaan Najib bahawa tiada dana awam digunakan oleh kerajaan untuk membayar hutang prinsipal 1MDB.

Mengulas lanjut, Najib berkata, wang Goldman Sachs adalah milik syarikat pelaburan itu dan bukannya wang rakyat seperti yang didakwa Muhyiddin.

Artikel Berkaitan:

“Mana ada duit rakyat. Mengarut sahajalah,” tegasnya.

Mengulas mengenai Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun memintanya hadir di Dewan Rakyat pada Rabu, Najib berkata beliau tidak dapat menghadirinya kerana berada di Johor.

Najib berkata bahawa beliau akan memberi penjelasan tentang mengelirukan Dewan Rakyat yang diminta Azhar selepas tamat Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Esok tak boleh sebab saya ada di Johor. Saya akan berhubung dengannya. Lepas PRN saya buat (penjelasan),” ujarnya.

Azhar pada Isnin meminta Najib memberi penjelasan kepada Dewan Rakyat pada Rabu berhubung kenyataannya ketika perbahasan minggu lepas yang dikata mengelirukan dewan.

Azhar memaklumkan bahawa telah menulis surat kepada Najib bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu dan meminta bekas perdana menteri itu memberi kenyataan.