Keputusan kes bekas ahli Parlimen Labuan ditangguhkan 23 Jun

Rozman
Rozman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan kes bekas Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli yang didakwa atas pertuduhan menggunakan kedudukan dalam mendapatkan kontrak pekerjaan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd (LLPM) yang dijadualkan hari ini ditangguhkan ke 23 Jun depan.

Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Rozman ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu.

"Pihak kami menerima e-mel daripada mahkamah pada 3 petang semalam. Mahkamah memberikan tarikh baharu untuk keputusan pada 23 Jun ini, pukul 3 petang,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Feisal Mohd Azmi juga mengesahkan perkara tersebut.

Pada 6 April lepas, Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob menetapkan hari ini untuk keputusan di akhir kes pendakwaan bagi memutuskan sama ada Rozman perlu membela diri atau dibebaskan daripada pertuduhan yang dihadapinya.

Pada 6 Mac lepas, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 24 saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula 11 Ogos tahun lepas.

Rozman, 59, didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan (LPL) telah menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi LLPM, yang bapa dan adik lelakinya mempunyai kepentingan dalam syarikat tersebut.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya antara jam 2.30 hingga 5.30 petang pada 21 Mac 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun serta denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. - Bernama