Muhyiddin saman Anwar isu hutang peneroka Felda

Anwar, Muhyiddin
Anwar, Muhyiddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memfailkan saman fitnah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu pelupusan hutang peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berjumlah RM8.3 bilion.

Muhyiddin, 76, mengemukakan saman itu di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis menerusi Tetuan Rosli Dahlan Saravana Partnership selaku plaintif dengan menamakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, 76, sebagai defendan.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menuntut ganti rugi teladan yang sepadan dengan jumlah RM200 juta pampasan.

Menerusi writ saman dan pernyataan tuntutan yang diperoleh, plaintif mendakwa Anwar telah memberi ucapan yang memfitnah semasa sambutan Hari Peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan 2023 di Serdang, Selangor pada 7 Julai lalu.

Ucapan itu katanya, telah disiarkan secara langsung melalui ‘Facebook Live’ Anwar Ibrahim.

Susulan itu, Ahli Parlimen Pagoh berkenaan menafikan kenyataan Anwar pada keesokkan hari, dengan menjelaskan bahawa pelupusan hutang peneroka Felda sebanyak RM8.3 bilion tersebut telah dilaksanakan pada 2021.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkenaan tidak mengendahkan penjelasannya dan terus memfitnah ketika sesi dialog di Universiti Utara Malaysia (UUM) kemudian ia disiarkan di laman Facebook yang sama.

Sesi Dialog UUM itu juga disiarkan secara langsung melalui ‘YouTube Live’ Anwar Ibrahim.

Muhyiddin mendakwa, defendan kemudiannya memutarbelitkan dua kenyataan fitnah itu dengan mengatakan bahawa walaupun Majlis Jemaah Menteri (MJM) telah meluluskan RM8.3 bilion tersebut, defendan terpaksa membuat peruntukan baharu.

“Jelas sekali, Anwar mengakui bahawa pelupusan hutang peneroka telah dilaksanakan semasa saya menjadi Perdana Menteri namun, beliau tetap meneruskan dakwaan palsu dan jahat terhadap saya.

“Sedangkan, ucapan Anwar mengandungi kenyataan yang jelas palsu, tidak benar, tidak berasas dan berniat jahat terhadap saya,” katanya.

Beliau berkata, Ahli Parlimen Tambun ini sekali lagi tidak mengendahkan tuntutan peguamnya, dengan berterusan menyebarkan fitnah ini.

Pada 19 Julai lalu beliau berkata, ketika Majlis Sambutan Maal Hijrah 1445H Perpaduan Tanjong Karang di Selangor, defendan mengisytihar untuk mengemukakan dokumen membuktikan beliau menandatangani pelupusan hutang itu.

Muhyiddin berkata, melalui kenyataan media Pejabat Perdana Menteri bertarikh 20 Julai lalu, Anwar mempamerkan dokumen ‘Assignment of Finance Service Reserve Account 1 (FSRA 1)’ bertarikh 26 Jun.

Katanya, ia ditandatangani oleh Anwar sebagai Menteri Kewangan bersama satu lagi dokumen ‘Kerajaan Malaysia – Arahan Pembayaran’ bertarikh 18 Julai lalu bagi jumlah RM990 juta.

Pada hari sama, Muhyiddin berkata, Kementerian Kewangan telah mengeluarkan kenyataan mengesahkan dokumen yang ditandatangani Anwar itu ialah mengenai Sukuk Felda sebanyak RM9.9 bilion dan geran 10 tahun oleh kerajaan sebanyak RM990 juta setahun.

Oleh itu beliau berkata, jelas bahawa dokumen berkenaan tidak menunjukkan pelupusan hutang peneroka yang dilaksanakan, dua tahun lalu.

“Sama ada defendan jahil atau sengaja memanipulasikan hal Sukuk Felda (RM9.9 bilion) dan geran kerajaan (RM990 juta setahun), dengan pelupusan hutang yang dilaksanakan saya sebelum ini.

“Akibat penerbitan fitnah itu, ia menjejaskan integriti, nama dan reputasi saya kerana orang ramai mempercayai bahawa kenyataan fitnah berkenaan adalah benar,” katanya

Selain itu beliau berkata, kenyataan berkenaan menyebabkan beliau dan keluarganya mengalami skandal awam, kebencian dan penghinaan secara umum.

Susulan itu, selain menuntut ganti rugi, Muhyiddin meminta Anwar memadamkan video Facebook ‘[Siaran Langsung] Sambutan Hari Peneroka Felda 2023’ dan ‘Temu Anwar Kedah @ UUM’ dengan serta-merta.

Bekas Perdana Menteri kelapan turut memohon agar video berhubung isu sama dipadamkan antaranya di YouTube ‘Temu Anwar Kedah @ UUM’ dan ‘[Siaran Langsung] Cakna Madani PM bersama agensi penguatkuasaan 13 Julai 2023’.

Katanya, ia turut termasuk injunksi untuk menghalang defendan, sekutu, ejen atau wakil daripada menerbitkan semula kenyataan itu.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Anwar menjelaskan bahawa Muhyiddin hanya mengumumkan mengenai pelupusan hutang peneroka namun tidak menyelesaikan perkara berkenaan ketika beliau menjadi Perdana Menteri.

Anwar berkata, selaku Menteri Kewangan, beliau baru sahaja menandatangani dokumen kelulusan terbabit pada akhir Jun lalu.