Jangan terburu-buru longgarkan SOP

Covid-19 telah mengorbankan 5.9 juta penduduk di seluruh dunia sejak ia dikesan mula menular di China pada Disember 2019.
Covid-19 telah mengorbankan 5.9 juta penduduk di seluruh dunia sejak ia dikesan mula menular di China pada Disember 2019.
A
A
A

SEJAK varian Omicron dinamakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 26 November 2021, ia dilaporkan merebak sangat cepat di seluruh dunia.

Mana tidaknya, kurang daripada tiga bulan varian yang muncul selepas varian Delta telah mengucar-kacirkan sistem kesihatan di mana-mana hospital sedia ada dan kini kes dilaporkan menurun pula.

Penurunan ini sekali gus memberikan kelegaan kepada negara-negara ‘diserang' gelombang varian Omicron yang difahamkan pesakit hanya mengalami gejala ringan dan tidak merbahaya berbanding Delta.

Justeru, beberapa pemimpin dunia mengambil langkah drastik apabila dilihat mula menarik sekatan paling secara berperingkat yang selama ini menyebabkan beberapa sektor ekonomi terjejas teruk akibat penangan Covid-19 ini.

Sebagai contoh, Hong Kong mula kembali mengenakan sekatan paling ketat akibat ke kemuncak yang mana sebelum ini menyaksikan penurunan ketara kes Covid-19 di wilayah tersebut. Walaupun hampir 90 peratus daripada 7.5 juta penduduknya sudah menerima vaksin, jangkitan varian Omicron dikatakan masih berlaku sehingga menyebabkan pihak berkuasa mengenakan beberapa sekatan paling ketat semula.

Pakar-pakar kesihatan merumuskan bahawa faktor peningkatan semula ini berpunca daripada kealpaan orang ramai ketika melakukan aktiviti sosial seperti berhimpun di tempat awal dalam jumlah ramai selain tidak mendapatkan suntikan dos penggalak.

Bakal mengikut silap langkah Hong Kong, Perdana Menteri Britain, Boris Johnson mengumumkan untuk menamatkan semua sekatan termasuk arahan kuarantin kendiri di England menjelang akhir bulan ini.

Difahamkan, tindakan semberono Johnson mendapat pelbagai reaksi banyak pihak; antaranya Unison iaitu kesatuan sekerja terbesar di Britain yang mempunyai lebih 1.3 juta ahli. Unison menyifatkan keputusan Johnson itu sebagai keterlaluan dan terburu-buru dengan menegaskan virus Covid-19 belum berakhir sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

Hal sama turut mencetuskan kebimbangan Kumpulan Penasihat Saintifik untuk Kecemasan (SAGE) turut memberi amaran mengenai bahaya akan datang susulan hasrat Johnson untuk menjadikan England sebagai negara pertama di dunia yang memansuhkan semua sekatan Covid-19.

Berdasarkan kaji selidik YouGov terhadap hampir 4,500 penduduk Britain mendapati tiga perempat daripadanya atau 75 peratus percaya keperluan kuarantin kendiri selepas positif ujian Covid-19 perlu dikekalkan. Malah, separuh daripada responden memaklumkan mereka mahu sekatan Covid-19 itu dilaksanakan buat selama-lamanya.

Difahamkan juga, Sepanyol dan Belanda akan melakukan langkah sama seperti England untuk menamatkan semua sekatan pandemik berkenaan.

Belajar daripada kesilapan negara lain, Thailand, Malaysia dan Singapura menegaskan tidak terburu-buru untuk menarik balik sekatan Covid-19 kerana kesihatan dan keselamatan rakyat menjadi keutamaan.

Memandangkan kes Covid-19 bertambah baik dan jumlah kes yang semakin rendah dan tidak membimbangkan di negara itu, Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o- cha akan membincangkan tindakan selanjutnya dengan barisan kabinet sama ada melanjutkan perintah darurat atau melonggarkan pintu masuk sempadannya untuk pelancong asing.

Tetapi harus diingat, WHO sebelum ini pernah memberi amaran bahawa koronavirus akan muncul semula jika dunia bergegas untuk mengurangkan sekatan akibat virus itu ketika pemerintah mulai merancang untuk mengembalikan semula ekonomi mereka.

Untuk rekod, Covid-19 telah mengorbankan 5.9 juta penduduk di seluruh dunia sejak ia dikesan mula menular di China pada Disember 2019. Amerika Syarikat (AS) mencatatkan 959,262 kes kematian dan diikuti Brazil (650,578 kes) dan India (514,589 kes) yang disebabkan penularan varian Omicron.

Kesimpulannya, berdasarkan keadaan semasa dunia kini, pemimpin-pemimpin dunia jangan terburu-buru menarik semua sekatan Covid-19 kerana situasi semakin rumit. Kita perlu mempersiapkan diri untuk hidup norma baharu demi masa depan yang belum ketahui baik pada penghujungnya.

* Zulhimi Hat ialah wartawan Meja Global