Tuan Ibrahim dedah Empangan Chereh pecah pada November 2021

Tuan Ibrahim ketika sidang Dewan Rakyat pada Rabu.
Tuan Ibrahim ketika sidang Dewan Rakyat pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mendedahkan bahawa Empangan Chereh di Kuantan telah pecah pada November 2021 ketika dalam persidangan Dewan Rakyat pada Rabu.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, kejadian itu menyebabkan simpanan bekalan air minuman di bandar Kuantan melibatkan beberapa loji terjejas.

"Saya juga minta kerajaan ambil perhatian terhadap isu yang berlaku di Empangan Chereh, Kuantan di mana pada November dua tahun lepas, empangan ini sebenarnya pecah.

"Ini menyebabkan simpanan air bekalan minuman ke bandar Kuantan khususnya beberapa loji, hanya tinggal 20 peratus dalam empangan," katanya.

Beliau mendedahkan perkara tersebut ketika mengambil bahagian dalam sesi penerangan mengenai fenomena panas luar biasa yang melanda negara ini pada sesi di Dewan Rakyat pada Rabu.

Ujar beliau, susulan kejadian itu, Kerajaan Persekutuan ketika itu telah meluluskan peruntukan RM40 juta untuk membaik pulih empangan berkenaan.

"Namun peruntukan tersebut tidak mencukupi dan satu peruntukan tambahan (disalurkan). Saya ingin mendapatkan penjelasan apakah status terkini Empangan Chereh?," ujarnya lagi.

Sebelum itu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad memberi pemakluman kepada Dewan Rakyat berkenaan situasi perubahan iklim dan fenomena cuaca panas ekstrem.

Tuan Ibrahim memegang jawatan sebagai Menteri Alam Sekitar dan Air dari Ogos 2021 hingga Oktober 2022.

Sebelum ini, pada Januari 2018, polis menafikan dakwaan bahawa Empangan Chereh di Sungai Lembing di Kuantan berisiko pecah pada bila-bila masa seperti yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh yang mengesahkan perkara itu berkata, orang ramai juga tidak seharusnya berkongsi maklumat berkenaan di akaun Facebook atau kumpulan WhatsApp mereka.