Mereka sudah lama tahu simpanan REE di seluruh dunia - Sanusi

Sanusi
Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa warga China yang dikenali sebagai So Loi Fat atau 'Mr So' sudah lama mengetahui potensi dan kawasan yang memiliki simpanan REE yang belum diteroka.

Menurut beliau, Mr So yang dikaitkan dengan dirinya berhubung kegiatan REE itu pernah menunjukkan kepada dirinya sebuah buku berbahasa Cina mengenai kedudukan mineral itu di seluruh dunia.

Menurutnya, tidak mustahil sebagai seorang ahli perniagaan, individu tersebut memasuki negara ini lebih awal sebelum beliau dilantik sebagai menteri besar untuk urusan tersebut.

"Mr So ini ada kaki bukan perlu dibawa ke sini, saya tak tahu siapa yang bawa dia masuk ke negara kita.

“Tidak semestinya dia dibawa ke sini, dia mahu berniaga, cari benda mineral itu (REE), mereka sudah tahu lama dah di mana ada REE,” katanya ketika ditemui selepas hadir program Sembang Santai bersama MB Kedah di Flat Alor Malai, di sini pada Rabu.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu berkata, REE bukan sahaja terdapat di Malaysia, sebaliknya di beberapa negara lain yang turut ‘diburu’ oleh pelabur.

“Di Myanmar, Kemboja semua mereka pergi. Dia ada tunjukkan saya buku tulisan Cina di mana ada bahan itu di seluruh dunia. Jadi bukan pelik kalau dia datang sini.

“Bukan dia baru datang sebab saya bawa masuk, dia datang sebelum saya ada sini (sebagai menteri besar),” jelasnya.

Menurutnya, penerokaan REE di Kedah belum dilombong dan apa yang berlaku adalah kecurian yang tiada kaitan dengan Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah.

“Apa yang kita sedang proses ini belum mula lagi, baru memenuhi beberapa prosedur yang diperlukan,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan seorang pelabur Indonesia dikenali sebagai Reza Khalid pernah menemuinya dan berminat melombong REE di Kedah tahun lalu, Muhammad Sanusi jelaskan, beliau tidak pernah bertemu individu tersebut.

“Saya hanya dihubungi wakil Reza Khalid tetapi tak pernah berjumpa. Saya tak boleh nak dedahkan selebihnya, setakat itu sahaja,” ujarnya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi tegaskan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang berterusan mengaitkan dirinya dengan Loi Fat selepas ini.

“Sudah jelas warga China itu berada di Kedah sebelum saya jadi Menteri Besar (bermula Mei 2020). Sudah lama dia masuk, bukan saya bawa masuk. Saifuddin (Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) ni ‘wayar’ sungguh.

"Saya sudah kata semua peguam yang jumpa (bincang REE) adalah kawan dia, pergi tanya kawan dia lah. Kalau terus fitnah saya, kita saman sekali lagi biar berhimpun saman itu penuh dalam kotak,” ujarnya.

Pada Selasa, Muhammad Sanusi menafikan dakwaan beliau membawa masuk Loi Fat ke negara ini yang dikaitkan dengan kes kecurian REE di Bukit Enggang, Sik.

Sementara Saifuddin, sebelum itu membuat pendedahan dengan menunjukkan gambar seorang warga China yang dikaitkan dengan kegiatan REE bersama Muhammad Sanusi dalam sebuah majlis.

Loi Fat dipercayai salah seorang daripada dua pekerja mahir dibawa MBI Kedah ke negeri ini. Turut didedahkan dokumen permohonan Pas Lawatan Ikhtisas ditandatangani Muhammad Sanusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MBI, Muhammad Sobri Osman.