Pam air bergerak atasi banjir termenung

Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Kaedah pam air bergerak akan digunakan bagi menyelesaikan masalah banjir termenung di tiga daerah di negeri ini iaitu di Rantau Panjang, Pasir Mas dan Tumpat secepat mungkin.

Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beberapa unit pam itu akan ditempatkan di lokasi-lokasi yang dikenalpasti mengalami banjir termenung bagi menyedut air yang bertakung.

“Saya sudah meminta supaya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membekalkan pam bergerak di kawasan air termenung.

“Usaha itu dalam tindakan dan banjir akan mengambil masa untuk kering selain mewujudkan sistem pam paip di kawasan yang biasa terjadi banjir termenung dan menyelenggara sistem pintu air atau pam yang lebih baik,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Menaik Taraf Fasiliti Tandas di Rumah Ibadat di Madrasah Haji Junoh di Kampung Paya Keranji di sini pada Ahad.

Hadir sama, Ketua Operasi Wilayah Utara dan Pantai Timur IWK, Hussain Omar.

Beliau berkata, RM16 juta peruntukan dimohon bagi tujuan menyelenggara pintu air di sistem saliran dan pengairan termasuk di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) terutama di Kemasin-Semerak yang melibatkan 90 peratus tanaman padi musnah akibat banjir.

Ujarnya, mangsa banjir di setiap negeri termasuk Kelantan juga layak menerima ganti rugi bagi kerosakan rumah, tanaman dan kenderaan akibat bencana itu.

“Setiap mangsa banjir akan menerima wang ihsan RM1,000 manakala bagi mereka yang rumah rosak 100 peratus akibat bencana itu akan menerima bantuan sebuah rumah baharu.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan juga menanggung sebahagian besar kos membaiki kenderaan mangsa yang terjejas akibat banjir seperti mana diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini,” katanya.

Tambahnya, proses permohonan bantuan boleh dikemukakan kepada pemimpin setempat atau ketua kampung masing-masing selain agihan bantuan yang dilakukan melalui rekod nama mangsa yang berpindah di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) semasa banjir.

Sebelum ini, akhbar melaporkan penduduk di kawasan yang mengalami banjir termenung berdepan risiko penyakit bawaan air dan gangguan bau busuk berikutan air bertakung setinggi antara 0.2 meter hingga 0.4 meter.

Sementara itu, dalam sidang akhbar yang sama, Tuan Ibrahim berkata, kerajaan telah memperuntukkan RM10 juta bagi kerja-kerja menaik taraf sebanyak 485 kemudahan tandas awam di rumah-rumah ibadat pelbagai agama di seluruh negara bermula April lalu.

Menurutnya, inisiatif di bawah kawal selia oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan diuruskan oleh Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd itu bertujuan memastikan sistem pembetungan dan kumbahan lebih efisien, mesra alam serta cekap penggunaan air.