Kebakaran Hutan Simpan Kuala Langat: JPNS pantau elak pencerobohan

Tinjauan udara keadaan kawasan HSKL Selatan yang terbakar minggu lalu. Foto: Bomba Selangor
Tinjauan udara keadaan kawasan HSKL Selatan yang terbakar minggu lalu. Foto: Bomba Selangor
A
A
A

 

KUALA LANGAT - Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) melaksanakan pemantauan ketat di lokasi kebakaran Hutan Simpan Kuala Langat (HSKL) Selatan bagi mengelak sebarang pencerobohan.

Pengarah JPNS, Azhar Ahmad berkata, kebakaran telah berjaya dipadam dan proses pemadaman telah dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Menurutnya, JPNS mengingatkan orang awam atau penduduk tidak memasuki kawasan hutan simpan terbabit.

"Pegawai pemantau JPNS melaksanakan pemantauan kawasan itu dengan lebih kerap.

"Orang awam diingatkan agar tidak melakukan aktiviti dilarang terutamanya yang boleh mencetus dan mengakibatkan kebakaran hutan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Pengarah JPNS, Azhar Ahmad
Pengarah JPNS, Azhar Ahmad

Tambahnya, pihaknya juga akan menyiasat dakwaan berhubung terdapat aktiviti penerokaan hingga dipercayai menjadi punca kebakaran seluas 22.6 hektar.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, JPNS memandang serius perkara ini dan tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi.

Susulan itu, Sabtu lalu, satu tinjauan udara turut dilaksanakan JPNS dengan kerjasama JBPM yang diketuai Pengarah Bomba Selangor dan turut disertai pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi memastikan setiap kawasan yang terlibat kebakaran dapat dikawal dan dipadam sepenuhnya oleh pasukan pemadaman.

Baru-baru ini Sinar Harian melaporkan JBPM tidak menolak kemungkinan berlaku aktiviti penerokaan di HSKL Selatan hingga menyebakan kebakaran berskala besar.

Dalam kejadian pada 3 Februari lalu, sepasukan BBP Banting dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 12.43 tengah hari.

Kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya 5 Februari iaitu hari ketiga operasi melibatkan penugasan bersepadu JBPM, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Daerah Kuala Langat, Skuad Pantas Majlis Perbandaran Kuala Langat, Angkatan Pertahanan Awam Daerah Kuala Langat, Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBN) dan JPNS.

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!