Banjir: Lebih 1,000 laporan rumah rosak

Muhamad Zaki (tengah) menyampaikan sumbangan daripada Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra kepada anggota keselamatan di Balai Polis Rantau Panjang pada Ahad.
Muhamad Zaki (tengah) menyampaikan sumbangan daripada Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra kepada anggota keselamatan di Balai Polis Rantau Panjang pada Ahad.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Polis Kelantan menerima lebih 1,000 laporan berkaitan kerosakan rumah akibat banjir di negeri ini sejak 25 Februari lalu.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, Kampung Tersang paling teruk terkesan apabila lima buah rumah musnah dihanyutkan arus deras banjir.

"Laporan kerosakan perlu dilakukan bagi memudahkan urusan bantuan kepada mangsa terlibat," katanya kepada pemberita ketika Program Pasca Banjir yang diadakan di Balai Polis Rantau Panjang pada Ahad.

Program disertai seramai 150 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan penduduk kampung.

Mengulas keadaan cuaca yang tidak menentu beliau berkata, semua agensi keselamatan di Kelantan sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang bencana.

Tambah beliau, kesiapsiagaan penting bagi memastikan agensi menyelamat dapat melaksanakan tugas sebaik mungkin.

Muhamad Zaki memberitahu, pihaknya mewujudkan 'foodbank' bagi membolehkan anggota yang berada di kawasan penduduk terjejas dapat menyalurkan makanan secepat mungkin.

Beliau turut memaklumkan, penugasan kawalan sempadan Malaysia-Thailand sentiasa diperketatkan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, walaupun ada 11 pos kawalan PGA ditenggelami banjir namun penugasan tetap dilaksanakan.