Permohonan ikat jamin remaja didakwa bunuh bayi diputuskan 8 Mac

Permohonan remaja perempuan berumur 15 tahun, yang berdepan dakwaan membunuh bayi lelaki baru dilahirkannya, untuk dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu perbicaraan kes itu akan diputuskan pada 8 Mac depan.
Permohonan remaja perempuan berumur 15 tahun, yang berdepan dakwaan membunuh bayi lelaki baru dilahirkannya, untuk dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu perbicaraan kes itu akan diputuskan pada 8 Mac depan.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Permohonan seorang remaja perempuan berumur 15 tahun, yang berdepan dakwaan membunuh bayi lelaki baru dilahirkannya, untuk dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu perbicaraan kes itu akan diputuskan pada 8 Mac depan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hassan Abdul Ghani menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah peguam Sangeet Kaur Deo, yang mewakili remaja itu, serta Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fadhli Mahmud dan Nurhanisah S H Sahul Hamid bagi pihak pendakwaan.

Remaja itu telah memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Majistret Kemaman pada 15 Februari lepas yang tidak membenarkan dia diikat jamin.

Dia didakwa membunuh bayinya di sebuah rumah di Seri Bandi di sini antara 7 hingga 9 pagi 8 Februari lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati mengikut Seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak 2001 namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan atau Yang Dipertua Negeri mengikut di mana kesalahan itu berlaku.

Sangeet semasa ditemui media berkata, pada prosiding hari ini, beliau berhujah keadaan fizikal, mental dan emosi remaja itu, yang baru melahirkan bayi, telah mengalami perubahan drastik serta memerlukan perhatian sewajarnya selain sokongan dan bimbingan ibunya.

"Pemohon, yang merupakan kanak-kanak berusia 14 tahun 11 bulan semasa tangkapan, juga adalah mangsa eksploitasi seksual," katanya.

Ahmad Fadhli dalam hujahannya pula berkata, Mahkamah Majistret tidak melakukan apa-apa kesilapan dalam memutuskan untuk tidak membenarkan remaja itu diikat jamin.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, permohonan itu juga tidak teratur dan tanpa afidavit sokongan daripada ibu remaja tersebut serta tiada keadaan istimewa yang mewajarkan mahkamah membenarkan semakan terhadap keputusan Mahkamah Majistret.

Pada 18 Februari lepas, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam satu kenyataan memaklumkan ia masih boleh meneliti serta menyemak semula pertuduhan membunuh terhadap remaja itu, yang didakwa menikam bayinya sehingga mati, dan menggantikannya dengan pertuduhan lain.

Menurut AGC, hal itu selepas mengambil kira perkembangan tambahan termasuk hasil siasatan kes rogol membabitkan remaja terbabit. - Bernama