Pujuk hisap 'vape' sebelum rogol tiga remaja perempuan

No Image Caption
A
A
A

KOTA KINABALU - Empat remaja lelaki ditahan selepas dipercayai merogol tiga remaja perempuan dalam kejadian di sebuah rumah tumpangan di Kampung Air dekat sini Rabu lalu.

Kesemua suspek berusia antara 13 hingga 17 tahun itu ditahan pada Jumaat selepas satu laporan polis dibuat oleh salah seorang mangsa yang berusia 17 tahun.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, kejadian rogol berkumpulan ini melibatkan tiga mangsa berusia bawah umur dan empat suspek lelaki yang tidak dikenali bersama seorang wanita yang dikenali mangsa.

Menurutnya, kejadian bermula apabila empat suspek dan seorang wanita menegur tiga mangsa di sebuah pusat beli belah dan memujuk kesemua mangsa melepak di rumah tumpangan mereka di Kampung Air.

"Semasa di rumah terbabit, kesemua mangsa telah diumpan untuk menghisap rokok elektronik yang berperisa baharu di mana setelah semua mangsa menuruti pelawaan suspek, ketiga-tiganya tidak sedarkan diri.

"Apabila kesemua mangsa tersedar pada tengah malam, mereka berada dalam keadaan tidak berpakaian manakala semua suspek telah menghilangkan diri," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, susulan kejadian itu kesemua mangsa telah mengesyaki mereka telah dirogol sebelum laporan polis dibuat.

"Bertindak atas laporan yang dilakukan mangsa, polis berjaya mengesan serta menahan lima suspek yang terlibat di sekitar pusat bandar dan kawasan Telipok Ria, Tuaran.

"Kesemua mereka ditahan reman sehingga Jumaat ini untuk siasatan di bawah Seksyen 372(1)(a) Kanun Keseksaan dan 375(B) kanun yang sama," katanya.

Mohd Zaidi dalam pada itu turut menasihatkan remaja perempuan agar tidak mudah terpedaya atau terpengaruh dengan kenalan lelaki yang baharu dikenali selain tidak mencuba menghisap rokok elektronik kerana ia membawa kepada risiko keselamatan diri.