Kerja penebangan pokok getah punca air keruh: JPNK

Laporan Sinar Harian pada 23 Februari lalu.
Laporan Sinar Harian pada 23 Februari lalu.
A
A
A

KOTA BHARU - Tiada sebarang aktiviti pembalakan dijalankan di kawasan Hutan Simpanan Kekal Ulu Sat dan Hutan Simpanan Kekal Chabang Tongkat walaupun berada berhampiran dengan kawasan FELCRA Teratak Batu, Pasir Puteh.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK), Abdul Khalim Abu Samah berkata, ini kerana kawasan hutan simpanan kekal tersebut telah diwartakan sebagai Hutan Perlindungan.

Abdul Khalim Abu Samah
Abdul Khalim Abu Samah

"Ia dikelaskan di bawah pengkelasan Hutan Tadahan Air, maka tiada sebarang kelulusan untuk pembalakan di kawasan tersebut.

"Kedudukan tandak air di Kampung Gong Menkelih juga berada di dalam kawasan tanah milik FELCRA Teratak Batu di mukim berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan lebih 500 penduduk di kawasan Kampung Gong Menkelih, Pasir Puteh berdepan masalah air kotor dan keruh yang dipercayai berlaku kesan daripada penebangan pokok di Hutan Simpan Kekal Ulu Sat.

Mengulas lanjut Abdul Khalim memberitahu, semakan dilakukan sepasukan anggota JPNK di lokasi berkenaan pada Khamis mendapati tandak air tersebut memang agak keruh.

Menurutnya, ia disebabkan terdapat kerja-kerja penebangan pokok-pokok getah milik FELCRA dan kerja-kerja penolakan tanah sehingga menyebabkan tandak air menjadi keruh.

Artikel Berkaitan:

"Kerja-kerja penebangan dilakukan terhadap pokok-pokok getah tua di mana pihak FELCRA akan menjalankan projek tanaman semula bagi menggantikan pokok getah tua tersebut," katanya.

Abdul Khalim berkata, setakat ini tiada sebarang lesen dan aktiviti pengusahasilan hutan dijalankan di kawasan Hutan Simpanan Kekal Ulu Sat dan Hutan Simpanan Kekal Chabang Tongkat sebagaimana didakwa.

"Kita sentiasa memantau dan memastikan kawasan Hutan Simpanan Kekal Ulu Sat dan Hutan Simpanan Kekal Chabang Tongkat terpelihara daripada gangguan atau pencerobohan yang boleh merosakkan kawasan tersebut yang terkenal dengan jolokan “Paru-Paru Negeri Kelantan”," katanya.