Tambah kawasan Hutan Simpanan Kekal di Port Dickson

Aminuddin (enam kiri) ketika meninjau Jam Matahari Terbesar Dalam Hutan Simpan di PD Forest.
Aminuddin (enam kiri) ketika meninjau Jam Matahari Terbesar Dalam Hutan Simpan di PD Forest.
A
A
A

PORT DICKSON - Kerajaan Negeri Sembilan kini dalam proses menambah lagi kawasan Hutan Simpanan Kekal di negeri ini seluas 330 hektar melibatkan tanah kerajaan di daerah ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ketika ini Negeri Sembilan mempunyai seluas 155,086 hektar atau mewakili 23 peratus daripada keluasan tanah negeri selaras dengan Dasar Perhutanan Semenanjung Malaysia.

"Hutan simpanan di Port Dickson yang dimaksudkan adalah Hutan Simpan Bakau yang akan kita wartakan, dan kita harap bahawa ini akan menjadi satu pusat kajian terutamanya kepada anak muda.

"Ketika ini kita sedang mengenal pasti kawasan tersebut, antaranya kita ada bakau di sekitar Sungai Nipah,Chuah, Lukut dan Sungai Linggi supaya apabila telah diwartakan ia tidak akan dikeluarkan begitu sahaja sekali gus kekal menjadi khazanah kita," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Sembilan 2023 di PD Forest @ Sungai Menyala Port Dickson pada Ahad.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Aminuddin menjelaskan PD Forest telah pun mempunyai sebuah Dataran Astronomi yang belum pernah wujud di mana-mana Hutan Simpan Kekal di negara ini.

"Ia didapati sangat sesuai diwujudkan di PD Forest kerana tahap pencemaran cahaya yang sangat rendah di dalam hutan tidak mengganggu aktiviti cerapan langit dan aktiviti berkaitan astronomi.

"Di dataran ini, pada siang hari, pengunjung boleh melihat waktu sebenar menerusi jam matahari seperti yang digunakan oleh masyarakat kuno dalam menentukan masa dan waktu solat," katanya.

Ujarnya, selain itu di malam dapat melihat bulan, bintang, planet ataupun bima sakti ( milky way ) secara mata kasar atau menggunakan alat teleskop.

"Dataran ini menjadi menarik kerana baharu sahaja mendapat pengiktirafan dari Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Jam Matahari Terbesar Dalam Hutan Simpan dan juga Dataran Astronomi Terbesar Dalam Hutan Simpan," katanya.