Hutan Simpan Kekal: 'Warta masuk lagi banyak berbanding keluar'

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang melalui Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) telah mewartakan Hutan Simpan Kekal seluas 2,578.35 hektar berbanding 1,183.74 hektar hutan yang diwarta keluar.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Islam berkata, pihak JPNP dan Pejabat Tanah dan Galian Pahang sentiasa berusaha dan bekerjasama untuk mengenal pasti tanah-tanah kerajaan.

Jelasnya, ini bagi membolehkan kerajaan Pahang untuk mewartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal bagi menggantikan kawasan Hutan Simpanan Kekal yang telah dinyahwartakan.

“Pada tahun lalu (2022); jumlah luas pewartaan keluar seluas 1,183.74 hektar, itu yang kita wartakan keluar.

"Tetapi untuk makluman Datuk Seri, Yang Dipertua dan Ahli-ahli Dewan, kita juga telah mewartakan pewartaan masuk, yang keluar 1,183.74 hektar, tetapi yang kita wartakan masuk ialah sebanyak 2,578.35 hektar, bermakna yang keluar sikit, yang masuk lagi banyak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (Pas-Cheka) pada sesi pertanyaan lisan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini, pada Jumaat.

Wan Rosdy memaklumkan sehingga Disember tahun lalu, JPNP merekodkan luas Hutan Simpanan Kekal di Pahang adalah seluas 1,596,021.525 hektar

Katanya, jumlah kawasan itu bersamaan 44.37 peratus daripada keluasan negeri ini.

Menjawab soalan tambahan Tuan Ibrahim yang ingin tahu, terdapat 33 syarikat terlibat dengan ladang hutan yang gagal melakukan penanaman semula, namun tidak dikenakan denda seperti yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2021.

Wan Rosdy berkata, pihaknya telah berjumpa dengan Ketua Audit Negara kerana terdapat laporan yang kurang tepat.

"Kita tidak kutip (denda) kerana itu masih dalam proses. Merujuk kepada laporan Audit, kita dapati ada ketidaktepatan, ada bercanggah dan sedikit perbezaan daripada laporan itu.

"Susulan itu, kita telah menulis surat kepada Ketua Audit Negara untuk menyatakan beberapa perkara yang tidak tepat kerana ada (maklumat) yang diambil sebelum itu, terlalu lama dan tidak menggambarkan situasi sebenar," ujar beliau.

Menjawab pertanyaan Mohd Shahrim Md Zain (Bn-Chini) berhubung sumbangan hasil hutan terhadap Kerajaan Pahang, Wan Rosdy berkata, sememangnya hasil hutan sangat meyumbang kepada Kerajaan Negeri dengan berlaku peningkatan hasil pada setiap tahun.