Pulau Pinang jumpa Perak minggu depan bincang beli air mentah

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Pulau Pinang akan mengadakan perbincangan bersama kerajaan Perak pada minggu hadapan berhubung hasrat negeri itu membeli air mentah dari Perak menerusi projek Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pertemuan itu sepatutnya diadakan pada minggu lalu namun tertangguh akibat beliau menjadi kontak rapat kes positif Covid-19.

"Kita buat kajian sejak 2019 dan mendapati Pulau Pinang memerlukan sumber air alternatif menjelang 2025-2030. Kajian itu mengenal pasti Sungai Perak sebagai salah satu alternatif malah kerajaan pusat juga sedar tentang perkara ini.

"Cadangan untuk memulakan perbincangan tentang SPRWTS ini dibuat sejak 2019 lagi. Dengan adanya Menteri Besar yang baharu, maka usaha untuk menyambung perbincangan diteruskan.

"Satu tarikh sudah ditetapkan iaitu minggu depan iaitu 1 Mac di Perak," katanya ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Angkasa-X dengan E&E Manufacturing Partners di Komtar pada Isnin.

Pada Disember tahun lalu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Perak memberi keutamaan kepada keperluan penggunaan air domestik sebelum membuat sebarang keputusan untuk menjual air mentah kepada negeri lain termasuk Pulau Pinang.

Sebelum itu, Pulau Pinang menghantar surat permohonan rasmi pada 19 Oktober 2020 kepada Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man untuk membeli air mentah dari Perak dengan harga yang berpatutan.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow mengesahkan belum menerima sebarang surat peguam atau mahkamah daripada kerajaan Kedah berhubung tuntutan caj air mentah terhadap Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

"Masih belum ada apa-apa," jawabnya ringkas.

Sebelum ini, kerajaan Kedah melantik peguam bagi mendapatkan konsultasi menguruskan tuntutan caj air mentah terhadap Pulau Pinang.

Kerajaan Kedah mengemukakan tuntutan bertulis kepada Pulau Pinang untuk mengenakan caj air mentah sebanyak RM50 juta setahun berikutan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mendapat bekalan air dari Sungai Ulu Muda yang berpunca dari Kedah.

Bagaimanapun, Kon Yeow mengulangi pendirian kerajaan Pulau Pinang yang tidak akan membuat sebarang bayaran sebagai bayaran pajakan kepada Kedah.

Tambah Kon Yeow lagi, mengikut konvensyen antarabangsa, sesiapa sahaja mempunyai hak riparian untuk penggunaan air mentah.

Kon Yeow turut berkata, Pulau Pinang bersedia untuk berjumpa dengan kerajaan Kedah di mahkamah bagi menyelesaikan isu tuntutan caj air mentah yang dibangkitkan sebelum ini.